Selasa, 9 Jun 2009

Penganjuran Muktamar terbaik, media 'updated' - Timbalan Presiden PAS

Muhammad Arif Ismail


SHAH ALAM - Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa berkata, penganjuran Muktamar ke-55 adalah yang terbaik pernah diadakan.

Menurutnya, ini kerana PAS Selangor telah menyediakan pelbagai kemudahan yang terkini dari semua aspek seperti multimedia, pengurusan dan sebagainya.

"Saya ucapkan terima kasih PAS Selangor yang saya rasakan ini merupakan penganjuran yang terbaik pernah diadakan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas semua perwakilan selesai bermuktamar dan bersalaman dengan pemimpin tertinggi PAS baru-baru ini.

Hadir sama dalam sidang media itu, Pengarah Muktamar yang ke-55 yang juga merupakan Ahli Mesyuarat Kerajaan Negeri Selangor, Iskandar Abdul Samad dan Ketua Penerangan PAS Selangor, Roslan Shahir.

Muktamar yang ke-55 telah diadakan di Stadium Malawati dekat sini yang dapat memuatkan pengunjung sehingga 200,000 orang dalam satu-satu masa.

Sekaligus memberi keselesaan kepada semua perwakilan yang datang dari seluruh negara.

Beliau yang mewakili Presiden PAS, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat dan semua pihak yang terlibat dalam menjayakan penganjuran Muktamar pada kali ini.

Ahli Parlimen Bachok itu juga berkata,"saya ucapkan terima kasih kepada rakan-rakan media yang memberikan liputan yang cukup luas.

"Begitu 'updated' sekali sehinggakan orang tidak perlu telefon kita untuk mendapatkan keputusan pemilihan pemimpin tertinggi dalam PAS," katanya.

PAS juga katanya, mengucapkan terima kasih kerana membuat liputan muktamar pada kali ini sejak Muktamar Pemuda lagi pada 3 Mei lalu lagi di Markas PAS, Taman Melewar, Gombak.

"Ucapan terima kasih ini juga dibuat kerana membuat liputan aktiviti kami sehingga saya rasa peristiwa yang menguasai dada akhbar hingga minggu ini ialah Muktamar PAS," katanya. - azm/mks._

Tiada ulasan: