Jumaat, 12 Jun 2009

Pemuda Umno mahu mekanisme Tekun dibaiki, dana ditambah

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Pergerakan Pemuda Umno mahu kerajaan menambah dana Tabung Ekonomi Kumpulan Usaha Niaga Nasional (Tekun) sebagai salah satu pendekatan untuk menangani masalah pemberi wang haram ataupun "ah long".

Selain itu, Pemuda Umno juga menggesa Tekun memperkemaskan mekanisme pemberian kemudahan kewangan mikro termasuk mengatasi masalah "cek lambung" dan tidak membuat pembayaran walaupun permohonan telah diluluskan.

Masalah itu didedahkan oleh Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin semasa merasmikan Pusat Aduan Komuniti Pemuda Umno di Plaza Rah, Kg. Baru di sini petang tadi.

"Kami ada menerima aduan permohonan bantuan kewangan Tekun diluluskan tetapi pengeluaran wang tidak ada.

"Saya ada dengar satu dua kes dan semalam dalam mesyuarat Exco Pemuda, saya ada bangkitkan isu ini sambil bertanya pandangan Exco dan mereka juga mengatakan masalah ini wujud di kawasan mereka.

"Jadi, bukan satu dua kes tetapi banyak kes.

"Ada kes di mana cek dikeluarkan, tetapi tidak dapat ditunaikan," jelas beliau pada sidang media kemudian.

Khairy juga mengesyorkan agar kerajaan menambah dana pusingan Tekun yang telah merosot kepada RM50 juta tahun ini berbanding RM250 juta tahun lalu.

"Ini penurunan drastik... kami berharap ia ditambah," katanya.

Sambil tidak menafikan bahawa masalah kekurangan sumber Tekun juga berpunca daripada masalah penerima bantuan kewangan tidak menjelaskan pinjaman mereka, Khairy memberitahu, sementara mekanisme sedia ada diperbaiki kerajaan perlu menambah dana.

"Langkah ini lagi penting dalam situasi semasa (keadaan ekonomi) bagi membantu mereka yang memerlukan bantuan," katanya.

Mengenai Pusat Aduan Komuniti itu, Khairy berkata, pusat tersebut terbuka kepada sesiapa saja tanpa mengira fahaman politik, agama dan kaum.

Pejabat pusat itu terletak di Plaza Rah di Kg. Baru di sini.

Tiada ulasan: