Khamis, 4 Jun 2009

Pemuda PAS perlu bantu kekalkan kejayaan di Manek Urai - Salahuddin

Wan Nordin Wan Yaacob


KUALA LUMPUR - Ketua Pemuda PAS, Salahuddin Ayub menyeru agar ahli Pemuda PAS berusaha keras bagi mempertahankan Dun Manek Urai dalam pilihan raya kecil 14 Julai ini.

Memandangkan kejayaan yang besar yang dicapai PAS dan Pakatan Rakyat sebelum ini dalam Pilihan Raya Umum 2008 dan beberapa siri pilihan raya kecil sebelum ini,kejayaan tersebut perlu dipertahankan, katanya.

"Tahun 2008 telah menjadi tahun kuasa rakyat (makkal sakhti) apabila buat pertama kali BN kehilangan majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat suatu majoriti yang sering disalahgunakan untuk menindas rakyat," kata Salahuddin.

Beliau berkata demikian semasa menyampaikan Ucaptama Ketua Pemuda sempena Muktamar Dewan Pemuda PAS ke-50 yang sedang berlangsung di Markas Taman Melewar.

Menyambung ucapannya Salahuddin berkata, BN juga telah kehilangan kuasa di lima buah negeri selain turut hilang pengaruh di Wilayah Persekutuan.

Selepas Muktamar di Ipoh pada tahun 2008, telah berlangsung tujuh pilihan raya kecil iaitu di Permatang Pauh (26 Ogos 2008), Kuala Terengganu (17 Januari 2009), Bukit Gantang, Bukit Selambau dan Batang Ai (7 April 2009) serta Penanti (31 Mei 2009).

Semuanya memperlihatkan komitmen rakyat untuk terus melakukan perubahan bagi menzahirkan keadilan dan kebajikan yang menyeluruh kepada rakyat tanpa mengira agama, bangsa dan fahaman politik, katanya.

"Tindakan pengecut BN yang enggan bertanding di Penanti membukti parti perkauman itu semakin takut untuk berhadapan dengan suara kebenaran daripada rakyat.

"Saya berharap kita dapat mempertahankan momentum ini di Manek Urai kelak. Saya mengucapkan tahniah kepada PAS, dan juga Pakatan Rakyat kerana berjaya memenangi enam daripada tujuh pilihan raya kecil ini, katanya lagi.

Beliau juga mengingatkan pemuda agar berusaha keras mengekal dan menambah sokongan yang dimiliki PAS hari ini.

Ujarnya lagi, PAS kini sudah mula menerima sokongan besar di kalangan bukan Islam, justeru usaha ke arah melebarluaskan sokongan itu perlu dimantapkan.

Salahuddin juga menyeru kepimpinan baru Pemuda PAS sesi 2009/2011 di semua peringkat agar mengambil perhatian serius dalam rancangan untuk memperkasakan organisasi PAS.

Salahuddin mengharapkan berdasarkan kepada kejayaan yang telah ditempa hari ini, Pemuda PAS perlu memberi nilai tambah kepada usaha memastikan PAS dan Pakatan Rakyat sebagai kerajaan menanti bagi menggantikan kerajaan Umno/BN hari ini.

"Saya telah melihat adanya anjakan kesedaran di kalangan pimpinan Pemuda PAS di peringkat Kawasan dan negeri. Penglibatan lebih ramai pemimpin baru dari kalangan siswazah dan juga komitmen yang lebih tinggi dari kalangan ulamak muda telah meyakinkan saya bahawa Dewan Pemuda PAS mempunyai masa depan yang amat cerah dalam langkah jihadnya," katanya. /wann_

Tiada ulasan: