Isnin, 15 Jun 2009

Pemuda PAS desak wajibkan mata pelajaran agama

Irwan Muhammad Zain


KUALA LUMPUR - Dewan Pemuda PAS Pusat mendesak agar kerajaan mewajibkan mata pelajaran agama berbanding bahasa Inggeris dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM).

Ketuanya, Ustaz Nashruddin Hassan menegaskan perkara itu sebagai respons terhadap cadangan pihak kerajaan untuk mewajibkan semua pelajar lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM.

Beliau menjelaskan dalam keadaan masyarakat yang semakin hilang arah, mata pelajaran agama lebih penting kerana ia dapat mengisi jiwa dengan ilmu-ilmu kerohanian.

"Jika kerajaan mewajibkan pelajar SPM lulus bahasa Inggeris bermakna mereka wajib belajar bahasa Inggeris. Dalam soal ini Pemuda PAS berpendapat lebih wajar jika mata pelajaran Agama diwajibkan untuk belajar dan lulus dalam SPM.

"Tiada gunanya jika ramai pelajar yang mahir berbahasa Inggeris atau memperolehi markah tinggi tetapi akhlak dan moral mereka rendah," tegas beliau.

Negara-negara lain, jelas Nasruddin lagi, boleh maju dalam semua bidang tanpa mewajibkan pelajar-pelajar mereka lulus dalam bahasa Inggeris. Tetapi pencapaian mereka jauh lebih baik.

Beliau berpendapat Kementerian Pelajaran sewajarnya menyelesaikan terlebih dahulu isu PPSMI yang ditentang oleh banyak pihak dan rakyat di negara ini.

"Kerajaan sepatutnya peka dengan tuntutan rakyat bukannya menambahkan lagi bebanan mereka dengan cadang terbaru ini.

"Mewajibkan kelulusan bahasa Inggeris dalam SPM akan memberikan tekanan kepada pelajar-pelajar terutama pelajar di luar bandar,"katanya.

Mereka jelasnya, akan menjadi mangsa dasar ini seperti sengsaranya mereka dengan dasar PPSMI yang terpaksa dilalui.

Namun begitu, Nasruddin menegaskan Pemuda PAS tidak menentang usaha untuk memastikan pelajar menguasai bahasa Inggeris atau mempelajari bahasa lain tetapi perlu mengutamakan bahasa ibunda terlebih dahulu.

"Kami menyokong usaha untuk memastikan pelajar menuntut ilmu atau menguasai bahasa lain tetapi ia tidak seharusnya ke peringkat meminggirkan bahasa Melayu dan agama Islam," jelas beliau.

Justeru, tegas beliau, Pemuda PAS tidak bersetuju cadangan mewajibkan pelajar lulus bahasa Inggeris dalam peperiksaan SPM dan konsisten mendesak kerajaan memansuhkan PPSMI. - mks._

Tiada ulasan: