Isnin, 15 Jun 2009

Pelajar universiti lebih gemar bercinta - Tajuddin

UTUSAN ONLINE


IPOH - Kementerian Pengajian Tinggi diminta membuat kajian terperinci mengenai tingkah laku pelajar-pelajar universiti yang dilihat lebih gemar bercinta daripada memberi tumpuan menimba ilmu di universiti.

Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman berkata, perkara berkenaan perlu dilihat secara serius bagi memastikan ia tidak menjadi fenomena tidak sihat dan seterusnya menjatuhkan prestasi akademik mereka.

''Sepatutnya kerajaan buat satu kajian khusus untuk mengetahui berapa ramai pelajar bercinta di universiti, saya yakin ramai pelajar yang terlibat kerana ada yang sudah berani menaiki motosikal bersama ke sana dan ke mari.

''Sekarang saya lihat ada juga pelajar yang sibuk hendak berkahwin sedangkan masih belajar, ini satu perkara yang sangat jelas menyimpang daripada tujuan asal memasuki universiti,'' katanya.

Beliau menyatakan demikian ketika berucap pada majlis penyampaian wang pendahuluan Perbadanan Tabung Pelajaran Tinggi Nasional (PTPTN) bagi Parlimen Pasir Salak di sini semalam.

Tajuddin berkata, golongan siswa sepatutnya memberi sepenuh perhatian terhadap pelajaran supaya menjadi pelajar cemerlang dan bukan sekadar mempunyai keputusan 'cukup makan'.

Kata beliau, selain bercinta, golongan siswa juga didapati gemar menghabiskan wang pinjaman PTPTN dengan membeli telefon bimbit daripada membelanjakan wang tersebut untuk mendapatkan buku rujukan atau komputer.

Katanya, keadaan itu menyebabkan kualiti siswa khususnya daripada kaum Melayu agak rendah dan sukar bersaing untuk mendapatkan pekerjaan berbanding pelajar kaum lain yang lebih cemerlang di dalam pelajaran.

''Ini baru soal bercinta, banyak lagi perkara yang menjejaskan prestasi pelajaran siswa-siswi seperti lebih sibuk berpolitik, berceramah selain berdemonstrasi menentang kerajaan.

''Golongan ini merupakan pelajar yang lupa daratan, mereka lupa kepada jasa ibu bapa yang menghantar mereka ke universiti dan lupa kepada kerajaan yang membantu mereka mendapatkan pinjaman pelajaran,'' ujar beliau.

Sementara itu, Tajuddin yang juga Pengerusi Felcra berkata, pihaknya sudah merancang untuk mengambil segala langkah perlu bagi memastikan pendapatan peserta Felcra tidak terjejas ekoran cuaca panas El- Nino.

Katanya, kedatangan El-Nino pastinya akan menjejaskan produktiviti atau pengeluaran hasil kelapa sawit dan seterusnya mengurangkan jumlah pendapatan peserta.

''El-Nino memang memberi kesan kepada tanaman sawit dan ini memang satu keadaan yang tidak diduga dan tidak boleh dikawal oleh kita.

''Bagaimanapun Felcra sudah merancang supaya peserta tidak bergantung kepada satu hasil komoditi sahaja dan saya harap segala projek yang dirancang bagi membantu peserta dapat berjalan supaya pendapatan mereka tidak terjejas,'' katanya.

Tiada ulasan: