Isnin, 1 Jun 2009

Pegawai bertugas pusat buang undi tertidur

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Pemantau Pilihan Raya Bebas dan Adil (Mafrel) mendakwa ada pegawai tempat bertugas di pusat pengundian tertidur berikutan pengundi yang keluar mengundi terlalu sedikit.

Mafrel dalam laman web rasminya, melaporkan pegawai tempat mengundi di pusat pengundian Sekolah Kebangsaan Tanah Liat, Penanti tertidur kerana pengundi di kawasan itu terlalu kurang.

“Keadaan itu mungkin gambaran terbaik mengenai kelembapan proses pengundian pada pilihan raya kecil di Dewan Undangan Negeri (DUN) Penanti,” lapor Mafrel.

Mafrel mengulas mengenai peratusan pengundi yang keluar mengundi di DUN Penanti agak kurang iaitu sebanyak 46.15 peratus atau 7,100 daripada 15,384 pengundi.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mensasarkan 70 peratus daripada 15,385 pemilih akan keluar mengundi dalam pilihan raya kecil itu.

Kerusi DUN Penanti kosong selepas peletakan jawatan penyandangnya, Mohammad Fairus Khairuddin pada 16 April lalu.

Barisan Nasional (BN) tidak bertanding pada pilihan raya kecil kerana alasan kekosongan itu dibuat atas masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Empat calon yang bertanding ialah Timbalan Pengerusi Perhubungan PKR Pulau Pinang, Mansor Othman; 59; dan tiga calon bebas, bekas ketua wanita PKR, Pulau Pinang, Aminah Abdullah, 56; bekas ketua Pemuda Gerakan Cawangan Telok Wang, Penanti, Nai Khan Ari Nai Keow, 41 dan pakar motivasi Kamarul Ramizu Idris, 42.

Tiada ulasan: