Selasa, 23 Jun 2009

Pasangan bisu, pekak ke jinjang pelamin

UTUSAN ONLINE


KUANTAN - Menggunakan bahasa isyarat kerana bisu dan pekak bukan halangan bagi seorang tukang kebun, Abdul Rashid Abdul Rahman, 29, melafazkan akad nikah terhadap pasangannya, Nursaila Ismail, 19, yang juga senasib dengannya.

Malah dengan sekali lafaz menggunakan bahasa isyarat yang dibantu oleh ibu mertuanya, Hasmah Mahidin, 40, di hadapan imam masjid Felda Lepar Hilir 1, Abdul Rashid sah bergelar suami kepada pasangannya itu semalam dengan mas kahwin RM22.50 dan hantaran sebanyak RM3,000.

Ketika ditemui selepas upacara akad nikah itu, Abdul Rashid yang dibantu oleh Hasmah bertindak sebagai penterjemah berkata, beliau tidak menyangka bertemu jodoh dengan isterinya ketika bersama-sama bertugas di Pusat Latihan Komuniti, Felda Lepar Hilir 1 di sini.

''Perkahwinan kami boleh dikatakan sebagai cinta pandang pertama apabila saya jatuh hati pada Nursaila ketika pertama kali bertemunya ketika bertugas di Pusat Latihan Komuniti itu.

''Bermula dari situ, kami mengenal hati budi masing-masing. Apa yang istimewa, kami berdua sahaja yang cacat di situ dan mungkin faktor itulah juga yang membuatkan hubungan kami mesra serta menjadi serius," katanya di rumah isterinya di Felda Lepar Hilir 1, di sini.

Menceritakan perkenalan mereka kira-kira tiga bulan lalu, Abdul Rashid memberitahu, isterinya amat mengambil berat terhadap dirinya sehingga Nursaila meluahkan perasaan ingin berkahwin.

''Saya ketika itu sedang mencari calon isteri dan apabila dia menunjukkan bahasa isyarat bahawa dia ingin saya menyarung cincin ke tangannya, saya sedar bahawa dia adalah jodoh saya sebenar.

''Selepas itu, saya memberanikan diri bertemu ibu bapa Nursaila bagi meluahkan hasrat mengahwini anak sulung mereka. Alhamdulillah, permintaan saya diterima dengan baik," katanya.

Sementara itu, Nursaila bersyukur kerana dipertemukan jodoh pada usia muda walaupun menyedari mempunyai kekurangan.

Anak sulung daripada enam beradik itu berjanji tidak akan mengabaikan suami dan berusaha untuk membahagiakannya.

''Walaupun mempunyai kekurangan, kami tidak akan berputus asa untuk berdikari menambah pendapatan selain membina rumahtangga bahagia seperti insan biasa.

Ditanya perancangan masa depan mereka, Nursaila yang bekerja sebagai tukang jahit berharap dapat dikurniakan tiga cahaya mata daripada perkahwinan itu.

Dalam pada itu, Hasmah terharu dan gembira dengan suami pilihan anak sulungnya itu.

''Saya dan suami, Ismail Ibrahim, 50, amat menerima kehadiran Abdul Rashid sebagai menantu.

''Sebagai ibu, saya mendoakan agar kehidupan mereka kekal sehingga ke anak cucu," katanya.

Tiada ulasan: