Khamis, 11 Jun 2009

PAS sedia bincang selain isu kerajaan perpaduan

Oleh ARIFFUDDIN ISHAK


KUALA LUMPUR: Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata isu mengenai penubuhan kerajaan perpaduan tidak timbul dan menegaskan bahawa parti itu akan terus bersama Pakatan Rakyat.

Bagaimanapun katanya PAS tidak pernah menutup sebarang pertemuan dengan Umno dan kerajaan jika perbincangan yang bakal diadakan menyentuh mengenai isu demokrasi dalam negara.

"Ya kita akan jumpa jika Umno nak bincang soal perubahan dalam badan kehakiman, soal kebebasan media dan juga SPR (Suruhanjaya Pilihan Raya).

"Saya utamakan dahulu perbincangan untuk memulihkan demokrasi...itu agenda yang pertama.

"Perkara itu masih belum lagi menjadi satu cadangan kepada Pakatan Rakyat dan belum lagi dibincangkan semasak-masaknya dalam PAS dan tak ada rundingan dalam Umno," katanya dalam sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Jawatankuasa Kerja PAS Pusat di sini hari ini.

Diminta mengulas mengenai respon positif yang diberikan oleh pemimpin Umno mengenai kerajaan perpaduan yang disyorkannya, Hadi berkata PAS masih belum membuat perbincangan yang terpeinci mengenainya.

"Sehingga hari ini kita tak buat keputusan lagi, itu hanya satu perbincangan ilmiah...perbincangan akademik.

"Saya mahu melihat kerajaan buat perubahan terlebih dahulu," katanya.

Ditanya bila PAS akan menerangkan secara terpeinci kepada rakan dalam Pakatan Rakyat iaitu Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP berhubung kerajaan perpaduan yang disarankannya, Hadi berkata perkara itu tidak berbangkit.

"Itu tak berbangkit, kita dah muzakarah..dah bincang lama dah, tapi bila ahli tanya saya akan jawab, bila pakatan tanya saya akan jawab sebab akhbar tak boleh beri maklumat yang terpeinci.

"Bahkan apa yang disiarkan selepas muktamar pun tidak terpeinci yang saya ada sentuh mengenai SPR yang perlu diubah, badan kehakiman perlu diubah dan kita perlukan pemisahan kuasa antara legislatif dan badan kehakiman.

"Ini merupakan pendahuluan yang perlu dilaksanakan oleh kerajaan untuk memulihkan demokrasi dalam negara kita," katanya.

Berhubung kritikan dan gesaan oleh pemimpin DAP termasuk Karpal Singh dan Lim Guan Eng agar beliau menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai kerajaan perpaduan, Hadi berkata beliau akan mendapatkan penjelasan terpeinci dari kedua-dua pemimpin berkenaan.

Tiada ulasan: