Selasa, 9 Jun 2009

Natijah Muktamar Ke-55 : PAS Istiqomah

TV ANTARA


Istiqamah. Mungkin ini adalah perkataan paling tepat untuk menyimpulkan natijah Muktamar Parti Islam SeMalaysia (Pas) ke-55 di Shah Alam yang berakhir Ahad lalu.

Dalam keghairahan pelbagai pihak, terutama media arus perdana, untuk menafsirkan apakah kesan daripada proses pemilihan pemimpin parti itu untuk penggal 2009-2011, Pas menyerlahkan wataknya yang sebenar – istiqamah.

Konsistensi dalam Pas inilah kekuatannya. Apabila disergah dengan pelbagai cabaran baru, Pas mempamerkan sikap semulajadinya – ahlus sunnah wal jamaah. Kaedah pemikiran ini bertitik tolak daripada tuntutan al Quran dan as Sunnah.

Dalam pemilihan kali ini Pas diapit oleh beberapa persoalan politik yang agak mendesak dan juga makar atau perangkap siasah yang disusun rapi oleh musuh-musuhnya. Mengepalai helah dan kesumat ini ialah media arus perdana yang sentiasa mengintai peluang untuk memporak-perandakan saf Pas dan juga ikatan parti itu dengan sekutu politiknya.

Perangkap pertama yang dilontarkan kepada Pas ialah persoalan, apakah Pas boleh melahirkan satu pasukan yang tangkas menghadapi cabaran Umno-Barisan Nasional yang mempunyai pemimpin baru. Dikatakan pemimpin baru – Najib Razak -- tidak seperti pemimpin-pemimpin Umno sebelumnya. Helah politiknya dikatakan lebih rapi dan kadangkala jauh lebih kejam.

Justeru Pas dikatakan perlu menyediakan pasukan yang lebih gesit dan kelihatan lebih berani dan tegas dalam menghadapi cabaran ini. Maka muktamar kali ini dikatakan harus membariskan pemimpin yang mampu “berlengan” dengan Najib dan konco-konconya.

Ini kerana ada yang berpendapat pimpinan Pas sebelum ini adalah terlalu lembut dengan polisi muqabalahnya. Namun ternyata Pas tahu apa yang ia perlu buat. Ia tidak termakan dengan terjahan yang hipotetikal atau bersifat andaian ini. Perwakilan Pas dapat membaca ini hanya andaian. Apakah sebenarnya Najib itu saingan politik yang lebih kental daripada Abdullah? Pada bacaan Pas, musuh politik adalah sama sahaja – mereka tetap berhelah dan penawarnya ialah muqabalah.

Ini cara Pas dan itu formula Islam,. Bersemuka atau “engagement” adalah prasyarat penting dalam politik dan kepemimpinan. Bila kita bersedia untuk muqabalah bererti kita sentiasa bersedia membaca tingkah pihak di seberang meja.

Lantas kecewalah musuh dan media arus perdana. Yang mereka nampak lebih ramai ulama di pentas kepemimpinan Pas. Yang mereka tidak dapat mengerti ialah ulamalah yang selama ini menjadi jentera menafsirkan halatuju Pas sejak akhir-akhir ini.

Media masih cuba membaca ideologi Pas melalui penampilan pemimpin Pas dan mereka sering terlepas pandang inti atau “substance” pertimbangan mereka. Bukankah saf ini juga yang menggerakkan strategi membentuk Pakatan Rakyat kerana itu adalah pilihan politik yang lebih Islami?

Kini Pas membuka jaringan spektrum politik yang lebih luas termasuk bersemuka dengan Umno dan entiti mana sekalipun. Ini kerana Pas tahu ia memikul tanggungjawab politik lebih besar, lantas ia perlu menyerlahkan keyakinan untuk memimpin pemikiran politik baru.

Namun sebagai parti politik yang berintegriti tinggi, spektrum politik baru itu akan dilayari bersama rakan-rakan politik yang memang telah banyak membantu menyerlahkan polisi “Pas Untuk Semua”. Prestasi Nizar Jamaluddin di Perak adalah bukti pada pengertian ini. Hakikat ini harus difahami oleh rakan dan pihak manapun yang mencemburui tingkah politik Pas.

Alkisah ada politik wang dalam proses pemilihan Pas kali ini ternyata strategi media yang meleset. Begitu juga laporan dan analisis kononnya terlalu ramai ulama di barisan tertinggi. Apa yang tidak disedari khalayak umum ialah pengertian ulama Pas kini sudah menjalari penguasaan ilmu semua perspektif kehidupan, termasuk politik. Selamat berjuang!

Tiada ulasan: