Selasa, 2 Jun 2009

Nasharudin dijangka kekal jawatan

BERITA HARIAN ONLINE


KUALA LUMPUR: Timbalan Presiden Pas, Nasharudin Mat Isa dijangka mengekalkan jawatan dengan mengetepikan dua pencabarnya pada Muktamar Tahunan parti, Jumaat ini dengan majoriti tipis.

Ahli Parlimen Bachok itu diramal mendapat sokongan padu daripada perwakilan yang mewakili kelompok ulama, manakala undi golongan profesional akan berpecah kepada dua pencabarnya yang juga Naib Presiden, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu.

Profesor Politik dan Pengajian Antarabangsa Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof Dr Mohamad Mustafa Ishak, berkata persaingan merebut jawatan nombor dua itu dijangka sengit berikutan perwakilan dalam dilema sama ada perlu mempertahankan kepemimpinan ulama atau bersedia menyuntik semangat parti dengan tenaga profesional.

“Kedudukan perwakilan ibarat diluah mati emak, ditelan mata bapa kerana mereka tidak mahu Pas menjadi sebuah parti liberal yang semakin hilang identiti kepemimpinan ulama kerana ada kecenderungan tenaga muda dalam Pas yang ghairah membawa parti itu menjadi liberal,” katanya.

Mohamad Mustafa berkata, undi golongan bukan agama yang dikelompokkan sebagai golongan profesional yang terbahagi dua antara Husam dan Mohamad akan membuka peluang kepada Nasharudin untuk terus kekal menyandang jawatan itu.

Beliau yakin perwakilan belum bersedia untuk membuka jawatan Timbalan Presiden kepada pemimpin bukan ulama kerana Pas dikenali sebagai parti yang dipimpin golongan ulama walaupun ada Majlis Syura Ulama dan Dewan Ulama.

“Keistimewaan Pas sebagai sebuah parti yang meletakkan agama sebagai asas perjuangan akan hilang jika kepemimpinan parti itu di kalangan pemimpin sama seperti rakan pakatan mereka, Parti Keadilan Rakyat (PKR).

“Sukar untuk meramalkan pilihan perwakilan tetapi secara peribadi saya menganggap kedudukan Nasharudin akan kekal dengan majoriti tipis,” katanya.

Tiada ulasan: