Sabtu, 6 Jun 2009

Nasaruddin: PAS komited kepada Pakatan

TV ANTARA


Timbalan Presiden PAS Nasaruddin Mat Isa menegaskan tidak timbul soal PAS mengabaikan Pakatan Rakyat untuk menjalin kerjasama dengan UMNO, sebagaimana yang cuba diwar-warkan oleh media arus perdana kawalan Barisan Nasional.

“Tidak timbul langsung soal kerjasama. Yang hendak dibincangkan adalah isu kepentingan negara. Kita berdepan dengan pelbagai isu hari ini. Tidak timbul langsung soal Pas masuk Umno atau Barisan,” kata Nasaruddin.

“Tumpuan kita adalah pilihanraya ke 13, memantapkan Pakatan Rakyat dan mempamerkan keupayaan kita mentadbir di lima negeri dan apa yang kita mahu buat sebagai sebuah kerajaan,” tambah beliau.

Nasaruddin turut menjelaskan bahawa cadangan penubuhan kerajaan perpaduan Pakatan-BN setakat ini hanya dibincangkan “secara perbualan” sesama pemimpin Pakatan Rakyat dan tidak sebagai rundingan rasmi gagasan itu.

Sehubungan itu, beliau berkata media massa telah salah petik Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang sebagai berkata pimpinan Parti Keadilan Rakyat dan DAP menerima cadangan penubuhan kerajaan perpaduan itu.

“Beliau (Hadi) telah disalah lapor, saya hadir sendiri pada sidang akhbar presiden. Yang ada sekarang ini diskusi (sahaja), bukan untuk menggubal satu dasar. Ia hanyalah perbincangan biasa, itu sahaja. Bukan konkrit,” kata Nasaruddin.

Menurut Nasaruddin, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan bukan sahaja belum menjadi agenda rasmi untuk perbahasan Pakatan Rakyat, malah perlu di bawa untuk pertimbangan muktamar PAS.

“Dalam parti ia bukan "one man show." Jika ia membabitkan dasar, ia harus dikembalikan ke muktamar. selepas muktamar, kuasa tertinggi dalam parti akan menentukan,” kata Nasaruddin.

Nasaruddin berkata sebarang perbincangan antara PAS-UMNO harus dilihat dalam konteks hasrat PAS untuk berdialog dengan mana-mana pihak mengenai permasalahan negara.

"Saya menyokong keperluan untuk PAS berbincang dengan semua pihak, termasuk parti politik, pertubuhan bukan kerajaan, malah media sekali,” kata Nasaruddin. “Ini kerana kita tidak boleh bersikap pasif apabila keadaan memerlukan oganisasi seperti badan-badan politik untuk duduk berbincang,” tambah beliau.

Tiada ulasan: