Isnin, 8 Jun 2009

Nafi parti dikuasai ulama konservatif

BERITA HARIAN ONLINE


TIMBALAN Presiden Pas, Nasharuddin Mat Isa, menolak dakwaan yang Pas kini diterajui ulama konservatif berikutan kemenangannya dalam pemilihan jawatan berkenaan pada Muktamar Tahunan Pas ke-55.

Nasharuddin yang mengalahkan pencabarnya, Datuk Husam Musa dan Mohamad Sabu, berkata jika benar Pas kini dipimpin ulama konservatif, sudah tentu parti itu tidak berada pada landasan terbaik.

"Istilah ini digunakan selepas keputusan pemilihan jawatan utama parti. Kalau benar kita konservatif, sudah tentu kita sukar duduk semeja dengan bukan Islam atau mengadakan kerjasama dengan Pakatan Rakyat atau Barisan Nasional (BN)," katanya dalam ucapan penggulungan, di sini, semalam.

Beliau mengulas laporan sebuah akhbar yang mendakwa ulama konservatif kini menguasai Pas selepas kekalahan golongan liberal dalam parti itu.

Dalam pemilihan kelmarin, Nasharuddin mendapat 480 undi berbanding Husam yang mendapat 281 undi dan Mohamad, 261.

Sementara itu, pada sidang media, Nasharuddin berkata, cadangan penubuhan kerajaan perpaduan akan dibawa pada Mesyuarat Presiden Pakatan Rakyat dalam tempoh terdekat bagi menghilangkan prasangka di kalangan pemimpin Pakatan Rakyat.

Beliau berkata, Pas yakin pemimpin DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR) dapat menerima cadangan itu kerana ia tiada kaitan dengan kemasukan Pas ke dalam Umno atau BN.

"Ini bukan isu perkongsian kuasa kerajaan atau berkongsi pejabat di Putrajaya dan juga bukan isu Pas serta Umno atau BN.

"Ini hanyalah perbincangan dan rundingan untuk kebaikan negara dan rakyat membabitkan isu semasa seperti mengatasi kemelut ekonomi masa kini," katanya sambil menambah Pas mengamalkan sikap terbuka untuk mengadakan rundingan dengan sesiapa saja.

Beliau berkata, walaupun Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak setuju cadangan rundingan itu, parti lebih mengutamakan pandangan parti keseluruhan.

Tiada ulasan: