Isnin, 8 Jun 2009

Murugiah: Dongeng Kayveas cubaan yang baik

BERNAMA


KUALA LUMPUR: Kisah 'Kala Jengking dan Katak' yang diceritakan Presiden PPP, Datuk M. Kayveas semasa Perhimpunan Agung Ke-56 parti itu semalam adalah dongeng yang tidak dapat menutup kebenaran parti itu mungkin dibatalkan pendaftarannya, kata Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Senator Datuk T. Murugiah.

Dalam satu kenyataan akhbar hari ini, Murugiah berkata, ahli-ahli Parti Progresif Penduduk (PPP) "bukan lagi bayi ataupun kanakkanak yang boleh diperdayakan dengan nyanyian, buaian mahupun cerita waktu tidur".

Murugiah yang dilucutkan keahlian dari PPP, turut menekankan bahawa perjumpamaan yang lebih tepat bagi PPP buat masa ini ialah "Harapkan Pagar, Pagar Makan Padi".

"Ahli-ahli PPP yang memberi keyakinan dan sokongan penuh kepada Datuk M. Kayveas sejak 1993 ketika beliau mengambil alih kepimpinan PPP digemparkan dengan berita bahawa parti ini berdepan dengan risiko dibatalkan pendaftarannya.

"Malah, mereka juga rasa tertipu apabila mengetahui bahawa wang yang dikutip sejak 2002 untuk yuran keahlian dan sumbangan untuk Tabung Universiti PPP dan Koperasi PPP tidak diaudit dan tidak mempunyai rekod langsung," kata Murugiah.

Beliau turut menyatakan rasa muak dan bosan ahli-ahli PPP dengan ugutan Kayveas untuk keluar dari Barisan Nasional (BN) sebagai cerita 'Gembala Kambing dengan Harimau'.

Tiada ulasan: