Selasa, 2 Jun 2009

Muktamar PAS bersiaran secara langsung melalui web

Harakahdaily


KUALA LUMPUR - PAS telah pun melancarkan laman web rasmi untuk Muktamarnya yang ke-55 bagi membolehkan orang ramai mengikuti pelbagai ucapan dan perbahasan dengan lebih telus lagi, dan menariknya secara langsung melalui web.

Melalui laman khas yang diperkenalkan, iaitu Muktamar 55, ianya bakal memuatkan beberapa bahan berita dan video, selain membolehkan orang ramai mengikuti persidangan empat hari PAS secara langsung dengan lebih mudah lagi.

Ke semua ucapan dasar, perbahasan dan sebagainya bakal di sajikan kepada orang ramai secara telus dan terbuka melalui laman tersebut.

Ruangan yang terbatas dalam beberapa media utama tanah air termasuk laporan yang tidak adil menjadikan PAS menggunakan teknologi internet sebaiknya untuk menyampaikan ucapan dasar mereka kepada orang ramai.

Sebelum ini, Setiausaha Agung PAS, Dato' Kamarudin Jaffar yang merasmikan laman web Muktamar 55 ini menyatakan gerbang muktamar yang dilancarkan itu berobjektifkan saluran maklumat kepada seluruh rakyat termasuk untuk masyarakat antarabangsa yang kini sudah mengenali dan kagum dengan PAS sebagai parti politik yang berjaya di negara ini.

Bahan-bahan yang akan mengisi gerbang maklumat itu antaranya siaran langsung terus menerus sidang muktamar bermula dengan muktamar dewan hinggalah muktamar penuh, katanya.

"Kita akan menyiarkan secara telus dan terbuka maklumat ucapan dasar, ucapan-ucapan perbahasan, maklumat keputusan pemilihan termasuk pemilihan di peringkat kawasan, negeri dan seterusnya yang sedang berlansung sejak beberapa minggu ini," katanya.

Laman web ini ujar Kamarudin diselia oleh Jabatan IT PAS Pusat dan telah pun beroperasi sejak beberapa minggu lalu.

"Saya mengharapkan dengan adanya laman ini, semua maklumat mengenai muktamar dapat kita sampaikan kepada seluruh rakyat.

"Kita bukan macam Umno yang ada televisyen dan media tetapi menyekat maklumat termasuk maklumat perbahasan sidang mereka kepada umum," ujarnya.

Dalam pada itu, beliau turut mengingatkan supaya semua perwakilan akan berbahas dengan penuh etika dan beradab seperti muktamar-muktamar yang lalu di samping. - azm _

Tiada ulasan: