Isnin, 1 Jun 2009

Muhyiddin akan jumpa ROS selesai kemelut PPP

BERNAMA


MUAR: Timbalan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata beliau akan berjumpa dengan Pendaftar Pertubuhan (ROs) dalam masa terdekat ini untuk mengetahui kedudukan sebenar kepimpinan Parti Progresif Rakyat (PPP).

Muhyiddin berkata beliau diminta bertemu ROS oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak ketika bertemunya sejurus sebelum beliau berlepas ke Korea Selatan hari ini untuk menghadiri Sidang Kemuncak Peringatan AseanKorea Selatan.

"Perdana Menteri meminta saya berhubung dengan ROS untuk mengetahui kedudukan Parti Progresif Rakyat (PPP) dan status kepimpinannya, tentang siapa sebenarnya yang memimpin parti," katanya kepada pemberita selepas menghadiri ceramah agama anjuran Umno Bahagian Pagoh di Dewan Sri Pekembar di sini, hari ini.

Muhyiddin, yang juga Timbalan Presiden Umno, berkata kata putus daripada ROS tentang kepimpinan PPP adalah amat penting di dalam usaha mencari jalan keluar kemelut kepimpinan parti komponen Barisan Nasional (BN) itu.

"Saya mungkin akan berjumpa dengan ROS sama ada esok atau lusa untuk mendapatkan jawapan rasmi," menurut Muhyiddin, yang juga Ketua Umno Bahagian dan Anggota Parlimen Pagoh.

Krisis kepimpinan PPP semakin meruncing apabila Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk T. Murugiah mendakwa bahawa beliau kini merupakan presiden parti berikutan mesyuarat agung luar biasa parti terbabit Ahad lepas di Putrajaya.

Bagaimanapun, keputusan pencalonan pemilihan PPP semalam menyaksikan Datuk M. Kayveas menang tanpa bertanding sebagai presiden parti itu untuk penggal lima tahun bagi kali keempat berturut-turut.

Muhyiddin berkata status kepimpinan PPP itu perlu diselesaikan sebelum perhimpunan agung parti itu yang akan diadakan pada 7 Jun depan, di mana Perdana Menteri dijadual menghadirinya.

"Jikalau tidak mendapat keputusan itu, kita tidak tahu sama beliau (Perdana Menteri) akan datang (pada perhimpunan itu)," katanya sambil mengakui kemelut kepimpinan PPP yang berlaku ketika ini adalah amat mengelirukan.

Timbalan Perdana Menteri itu berkata beliau bertemu dengan Murugiah di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), Subang hari ini, di mana timbalan menteri itu mengemukakan surat yang mengatakan beliau merupakan Presiden PPP yang sah.

Ditanya sama ada krisis kepimpinan PPP itu menjejaskan imej BN, Muhyiddin berkata sebarang krisis di dalam manamana parti komponen perlu diselesaikan dengan cepat untuk memelihara imej BN.

Katanya BN perlu menunjukkan imej yang baik dengan menunjukkan kepada rakyat jelata bahawa ia kini merupakan parti lebih diyakini.

"Di dalam proses hendak memulihkan imej BN di mata rakyat, apa sahaja perbezaan pandangan (di dalam parti komponen) mesti dielakkan dan sebarang krisis perlu diselesaikan dengan cepat.

"BN mesti dilihat sebagai gabungan yang kukuh dan mantap," katanya.

Mengenai peletakan jawatan Naib Presiden Gerak Huan Cheng Guan kerana tidak bersependapat dengan Pengerusi Gerakan Pulau Pinang Datuk Dr Teng Hock Nan, Timbalan Perdana Menteri berkata Presiden Gerakan Tan Sri Dr Koh Tsu Koon perlu menyelesaikannya.

Tiada ulasan: