Sabtu, 13 Jun 2009

MPK tidak roboh pentas perayaan tokong

Saidah Hairan


KUALA LUMPUR - Dakwaan Ketua MCA Bahagian Kapar, Dato' Song Kee Chai, kononnya Ahli Majlis Perbandaran Klang (MPK) cuba meroboh pentas dan khemah perayaan tokong Guan Sheng Gong dekat Kapar atas dasar Ahli Majlis PAS tersebut tidak menghormati agama lain adalah tidak benar.

Sekretariat akhbar kerajaan negeri memaklumkan, Song mendakwa 30 pegawai MPK di bawah pimpinan seorang Ahli Majlis PAS cuba merobohkan pentas perayaan tokong di Taman Wangi, Batu 11 Kapar (laporan Guang Ming Daily, 8 Jun 2009).

Kerajaan Negeri Selangor kecewa dengan tindakan Song kerana memutarbelitkan fakta dan kebenaran perkara tersebut.

Pertama sekali, ahli majlis yang dimaksudkan oleh Song adalah Noriah Abdul Rahman yang mewakili pihak NGO dan bukan PAS seperti didakwa.

Keduanya, MPK bertindak ekoran menerima aduan daripada penduduk Taman Sri Wangi, Kapar berkenaan bunyi bising daripada hiburan wayang tokong pada waktu malam pada 2 hingga 8 Jun. Maka tidak timbul persoalan tidak menghormati agama lain.

Ketiga, Noriah bersama selaku Ahli Majlis dan lapan orang pegawai MPK telah ke lokasi aduan iaitu Batu 11 Kapar pada 5 Jun dari jam 10 hingga 11:30 pagi untuk meninjau keadaan sebenar, bukannya 30 pegawai untuk merobohkan pentas ataupun khemah perayaan tokong seperti didakwa Song.

Bagaimanapun, Exco Kerajaan Tempatan, Kajian dan Penyelidikan, Ronnie Liu Tian Khiew telah mengarahkan saman-saman yang dikeluarkan oleh MPK kepada AJK tokong pada hari tersebut dibatalkan untuk mengelakkan sebarang salah faham.

Kerajaan Negeri Selangor menegaskan Song tidak wajar sama sekali mengaitkan kes ini dengan isu Kerajaan Negeri tidak menghormati agama lain atau memainkan sentimen perkauman hanya untuk kepentingan politik sendiri. - lanh _

Tiada ulasan: