Jumaat, 19 Jun 2009

Misi kemanusiaan Yayasan Amal tiba di Kaherah

Ahmad Tajdid


KAHERAH - Rombongan misi kemanusiaan Yayasan Amal untuk Gaza, Palestin tiba di ibu negara Mesir, Kaherah pada jam 6.50 pagi tadi waktu tempatan daripada Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) melalui penerbangan Egypt Air.

Anggota misi kemanusiaan Palestin yang diketuai Presidennya, Hussin Ismail kemudian mengadakan perbincangan dengan Setiausaha 2 Kedutaan Malaysia di Kaherah, Mohd Fauzi Mohd Said pada petang hari yang sama.

Perbincangan diadakan bagi membincangkan kaedah terbaik menyampaikan bantuan kepada penduduk di wilayah Gaza akibat penutupan pintu sempadan Mesir-Gaza yang berkuatkuasa 5 Februari lalu.

Turut hadir dalam perbincangan itu ialah Setiausaha Tiga Kedutaan Malaysia Kaherah, Iskandar Harman, Timbalan Presiden yayasan Amal, Jamuliddin Elias, Koordinator Projek Yayasan Amal di Palestin, Azlan Muhammad Sharif dan semua anggota misi kemanusiaan.

Hussin ketika ditemui selepas perbincangan itu berkata, Yayasan Amal berusaha untuk menyampaikan sumbangan yang disalurkan pelbagai pihak termasuk Wisma Putra kepada penduduk Gaza sebagai satu amanah yang wajib ditunaikan.

Menurut beliau, Yayasan Amal telah merancang dua projek utama untuk dilaksanakan di wilayah Gaza iaitu penyaluran bekalan air melalui perigi tiub dan pembinaan kilang roti.

Yayasan Amal juga berhasrat melaksanakan program khas untuk wanita, kanak-kanak dan pelajar di wilayah Gaza.

Malangnya semua projek yang dirancang Yayasan Amal untuk membantu umat Islam Palestin tertangguh sejak pihak berkuasa Mesir memutuskan menutup pintu sempadan Mesir-Gaza kepada semua badan bantuan antarabangsa sejak Februari lalu.

Anggota misi Yayasan Amal turut dimaklumkan pihak Kedutaan Malaysia bahawa Mesir telah menguatkuasakan peraturan baru mewajibkan permohonan lintas sempadan oleh badan bukan kerajaan (NGO) dibuat melalui kedutaan negara asal NGO terbabit yang kemudian menyalurkannya kepada Jabatan Palestin, Kementerian Luar Mesir.

Hanya dengan kebenaran Kementerian Luar Mesir, para sukarelawan NGO dibenarkan melintasi sempadan untuk ke Gaza.

Hussin turut membincangkan kemungkinan diwujudkan kerjasama antara Yayasan Amal dan NGO Palestin bagi memudahkan penyaluran bantuan memandangkan sekatan yang dikenakan terhadap NGO asing bagi melaksanakan program bantuan di wilayah Gaza.

Cadangan Yayasan Amal itu disambut baik oleh pihak kedutaan Malaysia dan tindakan lanjut akan dibuat sebelum misi Yayasan Amal berakhir 27 Jun ini. - tajdid _

Tiada ulasan: