Selasa, 9 Jun 2009

Memorial perkuburan dibantah penduduk

Zaili Muhammad


MELAKA - Lebih 100 penduduk di Kampung Pondok Kempas dan Kesang Pajak mengadakan demonstrasi bantahan secara aman bagi membantah pembinaan sebuah memorial tanah perkuburan bukan Islam seluas 30.8 hektar di kawasan kampung itu, di sini, baru-baru ini.

Menurut Ketua Parti KeADILan Rakyat Bahagian Jasin, Shamsul Iskandar Mohd Akin, pihak jawatankuasa sudah pun berbincang dan dalam masa terdekat akan memfailkan kes itu di mahkamah bagi mencabar keputusan Exco Negeri.

"Kita akan memfailkan kes ini di mahkamah dalam masa terdekat bagi mencabar keputusan Exco Negeri tentang pembinaan memorial ini," katanya.

Menurut Pengerusi Jawatankuasa Bertindak, Muhamad Keling, 53, pada awal tahun lalu Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Pondok Kempas serta Lembaga Masjid Selandar sudah pun membuat bantahan mengenai projek itu.

"Bagaimanapun sehingga kini kami tidak tahu kesudahannya, sebaliknya projek tersebut diluluskan kerajaan negeri dan kerja pembinaan sedang berjalan sejak sebulan lalu," katanya.

Tambah Muhamad, bantahan dilakukan kerana bimbang akan berlaku pencemaran alam sekitar melalui pembakaran mayat secara terbuka.

"Malah kami penduduk di kampung ini sebelum ini juga mempunyai masalah lain iaitu lalat serta kesan sampingan serangan unggas, kesan daripada kewujudan sembilan ladang ternakan ayam di sekitar kampung ini.

"Kami mempersoalkan kenapa cadangan pembinaan memorial untuk masyarakat Tionghua itu dibuat di kampung Melayu, sedangkan terdapat kawasan majoriti penduduk Tionghua seperti di Machap atau Asahan," katanya.

Di samping itu katanya, penduduk bimbang nilai hartanah di kampung mereka jatuh kesan pembinaan memorial itu.

Seorang lagi penduduk, Zulkifli Osman, 40, berkata, projek pembinaan itu yang sudah 10 peratus siap wajar dihentikan atau tanah perkuburan itu dipindahkan ke tempat lain.

"Penduduk mendesak kerajaan negeri supaya dapat mengkaji semula projek tersebut dan diharapkan menghentikan pembinaan ini segera.

"Atas kesedaran kami akan membuat laporan teknikal penuh untuk dikemukakan kepada kerajaan negeri dan Mufti Negeri bagi mengadu masalah ini," katanya.

Sementara itu, seorang penduduk, Siti Ramona Md Isa, 62, mendakwa projek yang sudah bermula sebulan lalu menjejaskan penternak kambing keluarganya, memandangkan ia terletak berhampiran kawasan berkenaan.

"Kami terpaksa jual semua kambing kerana ia mengalami masalah. Kami sekeluarga tiada pilihan lain.

"Kami pernah didatangi beberapa wakil untuk membeli tanah dengan menawarkan sejumlah wang besar, tetapi kami tolak. Ini kerana memikirkan jika kami menjual tanah, apa nasib yang bakal menimpa penduduk di kampung ini," katanya. - mks._

Tiada ulasan: