Jumaat, 12 Jun 2009

Media Indonesia diminta tidak manipulasi isu Ambalat

MALAYSIA KINI


Malaysia berharap media Indonesia tidak memanipulasikan isu Ambalat sehingga menimbulkan ketegangan dan menjejaskan hubungan baik antara kedua-dua negara.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, dakwaan bahawa Malaysia menceroboh perairan Indonesia dan melakukan provokasi terhadap tentera laut Indonesia adalah tidak tepat.

"Saya harap rakyat Indonesia di Malaysia mahupun di negara mereka tidak meletakkan tanggapan bahawa Malaysia berhajat menceroboh (perairan Indonesia) seperti dakwaan mereka," katanya kepada pemberita di Kepala Batas, lapor Bernama.

Ahmad Zahid meminta semua pihak tidak mensensasikan isu berkenaan dan beliau yakin ia akan dapat diselesaikan dengan baik dalam tempoh terdekat.

Isu Ambalat timbul berpunca daripada salah faham lantaran tiada kejelasan garis sempadan di kawasan tuntutan bertindih oleh Malaysia-Indonesia.

Ambalat adalah blok laut seluas 15,235 kilometer persegi yang terletak di laut Sulawesi atau Selat Makassar.

Sehubungan itu, Ahmad Zahid berkata, mesyuarat Jawatankuasa Am Sempadan antara Malaysia dan Indonesia yang dijangka diadakan bulan depan akan memperincikan cadangan rondaan terkoordinasi oleh tentera kedua-dua negara di sekitar Batu Unarang, Ambalat.

Katanya, Malaysia menyarankan kepada Indonesia mengenai rondaan terkoordinasi itu bertujuan mengelak salah faham antara kedua-dua negara dan pihak Indonesia memperlihatkan sambutan baik terhadap saranan itu.

"Panglima Angkatan Tentera Malaysia (Tan Sri Abdul Aziz Zainal) akan balik hari ini dari Jakarta dan kita akan dapatkan laporan terperinci hasil rundingan dengan pihak Indonesia," katanya.

Ahmad Zahid berkata beliau akan mendapatkan laporan lengkap berhubung rundingan itu daripada Abdul Aziz yang mengadakan pertemuan dengan Menteri Pertahanan Indonesia Juwono Sudarsono di Jakarta Rabu lalu.

1 ulasan:

hasellusiby berkata...

salam tumpang ziarah. jika ada yang berminat dengan teori konspirasi, sejarah nusantara yang hilang, sufism, kebangkitan akhir zaman..sila lah ke nusanaga.blogspot.com

harap salam ukhwah akan bertaut demi masa depan..sekian