Sabtu, 20 Jun 2009

Media baru bakal pengaruhi pengundi Manek Urai

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Pensyarah Program Sains Politik, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof. Madya Ghazali Mayudin tidak menolak kemungkinan kehadiran media baru seperti internet dan blog secara tidak langsung boleh mempengaruhi pengundi di Manek Urai walaupun kawasan tersebut adalah kawasan luar bandar.

Beliau berpandangan, mungkin terdapat pengundi muda yang telah berhijrah ke bandar dan mempunyai akses terhadap internet dan maklumat yang diperolehi melalui media baru ini seterusnya akan disampaikan kepada ibu bapa atau penduduk di Manek Urai.

Bagaimanapun katanya, pendekatan peribadi seperti mencula undi dari rumah ke rumah yang dilakukan oleh parti-parti yang bertanding boleh menjadi efektif jika mengenai tempat dan sasarannya dalam mempengaruhi pengundi terutama golongan yang masih mencari-cari parti mana yang harus diundi.

"Pendekatan tersebut saya kira lebih berkesan dalam konteks pilihan raya kecil Manek Urai ini. Parti-parti yang bertanding mempunyai ruang yang kuat kerana dalam tidak mempunyai pilihan raya di tempat lain pada waktu ini.

"Sebagai contoh jika parti A menggunakan pendekatan peribadi dari rumah ke rumah, parti B juga harus berbuat demikian. Jika tidak, kempen secara langsung tidak akan berkesan," katanya sewaktu dihubungi Harakahdaily.

Dalam pada itu katanya, dalam menghadapi pilihan raya kecil, kehadiran media dan penyampaian maklumat akan memberi kesan kepada pengundi-pengundi yang belum tetap pendirian terhadap sesuatu parti atau 'atas pagar'.

Jelasnya, dalam mana-mana pilihan raya, akan ada golongan ini. Justeru katanya, golongan ini perlu diyakinkan dengan perjuangan dan matlamat parti agar mereka boleh mengundi kepada parti yang berkenaan.

Sama ada media ini memainkan peranan yang penting dalam sesuatu pilihan raya, beliau berpandangan, ia bergantung kepada golongan mana yang disasarkan oleh media terbabit.

"Sebagai contoh jika sasaran media itu kepada golongan penyokong kuat PAS, apa sahaja propaganda yang disampaikan oleh media arus perdana mungkin pengaruhnya sangat kurang terhadap mereka. Ini kerana mereka telah mempunyai pendirian yang tetap.

"Tetapi bagi golongan yang masih terumbang ambing dan masih berkira-kira parti mana yang mereka perlu undi, peranan media ini betul-betul mempengaruhi mereka," katanya. - mns_

Tiada ulasan: