Khamis, 25 Jun 2009

Maria berjaya rayu saman RM5.5 juta

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Personaliti TV3 Maria Tunku Sabri berjaya dalam rayuannya bagi mengemukakan semula saman terhadap seorang ahli perniagaan kerana didakwa melanggar perjanjian penyelesaian RM5.5 juta kerana memungkiri janji untuk berkahwin.

Panel tiga hakim Mahkamah Persekutuan, Datuk Seri S Augustine Paul, Datuk Hashim Yusoff dan Datuk Wira Mohd Ghazali Mohd Yusoff, memerintahkan supaya kes itu didengar semula di Mahkamah Tinggi untuk pengurusan kes dan perbicaraan.

Pada tahun lalu, Penolong Kanan Pendaftar Mahkamah Tinggi, membatalkan saman itu dengan alasan kes itu adalah dalam bidang kuasa Mahkamah Syariah kerana kedua-dua yang terbabit adalah orang Islam dan ia berhubung kait dengan perkahwinan.

Pada 2004, Maria, 39, pengacara program Jalan-Jalan Cari Makan, memohon supaya dikuatkuasakan perjanjian membabitkan janji oleh Datuk Wan Johani Wan Hussin, 56, untuk membayarnya RM5.5 juta kerana beliau (Maria) tidak mengambil sebarang tindakan undang-undang terhadap ahli perniagaan itu kerana enggan mengahwininya seperti dijan-jikan.

Dalam pembelaannya, Wan Johani, menafikan wujud sebarang kontrak, dan sebagai alternatifnya, berkata perjanjian itu tidak sah dan mempunyai unsur ugutan dan pujukan.

Maria dibenar merayu kepada Mahkamah Persekutuan selepas beliau gagal berbuat demikian di Mahkamah Rayuan, yang membuat keputusan pada 5 Ogos 2008, bahawa beliau tidak dapat menguatkuasakan perjanjian itu kerana ia tidak sah mengikut Akta Kontrak disebabkan pada masa perjanjian itu dibuat, beliau masih menjadi isteri orang. - Bernama

Tiada ulasan: