Sabtu, 13 Jun 2009

Mara teruskan pinjaman IPTA di sebalik kelembapan ekonomi

utusan online


KOTA TINGGI - Majlis Amanah Rakyat (Mara) tetap meneruskan pinjaman pelajaran kepada pelajar yang berjaya melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi awam (IPTA) walaupun berlaku kelembapan ekonomi global masa kini.

Malah, pada sesi kemasukan Julai ini, Mara menawarkan pinjaman kepada 24,000 pelajar yang telah mendapat tawaran melanjutkan pengajian ke IPTA, kata Ketua Pengarahnya, Datuk Nam Marthinin.

Menurutnya, setiap penuntut yang layak dan telah menerima surat tawaran ke IPTA akan diberikan wang pendahuluan sebanyak RM2,000 seorang.

"Lazimnya, daripada 24,000 pinjaman yang kita tawarkan, hanya kira-kira 1/4 sahaja menerima tawaran tersebut dan selebihnya mereka mendapat pinjaman daripada Perbadanan Tabungan Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) atau mendapat tajaan daripada agensi atau korporat lain.

"Kita telah hantar surat tawaran dan mereka yang layak untuk mendapatkan pinjaman itu akan menerima wang pendahuluan RM2,000 setiap seorang menerusi kemasukan Julai ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Utusan Malaysia selepas menghadiri majlis penutupan Sukan Mara Se-Malaysia ke-6, di Kolej Profesional Mara di Bandar Penawar, dekat sini hari ini.

Pada majlis perasmian penutupan kejohanan oleh Timbalan Menteri Kemajuan Pembangunan Luar Bandar dan Wilayah, Datuk Hasan Malik itu, Mara Kedah diumumkan sebagai juara keseluruhan.

Mengenai rungutan sesetengah usahawan yang telah mendapat kelulusan pinjaman tetapi belum mendapat wang tersebut, Nam berkata: "Biasanya jumlah pinjaman yang diberikan berdasarkan jumlah kutipan bayaran balik yang kita peroleh dengan jumlah kutipan antara RM30 juta dan RM35 juta setahun," katanya

Menurutnya, oleh kerana Mara menerima banyak permohonan daripada usahawan, maka ada permohonan yang terpaksa menunggu giliran lebih lama.

Sehubungan ini, Nam menyeru para peminjam pinjaman Mara agar membayar pinjaman mereka bagi membolehkan pihaknya menghulurkan bantuan kepada usahawan lain.

Tiada ulasan: