Khamis, 4 Jun 2009

Malaysia-China Mansuh Keperluan Visa Untuk Pasport Diplomatik Dan Rasmi

Yong Soo Heong

BEIJING -- Malaysia dan China hari ini bersetuju menghapuskan sebahagian keperluan untuk memiliki visa bagi pemegang pasport diplomatik, rasmi dan perkhidmatan bagi melakukan perjalanan ke negara satu sama lain.

Sebahagian daripada pemansuhan dalam perjanjian visa itu merupakan antara empat Memorandum Persefahaman (MoU) yang dimeterai oleh Malaysia dan China hari ini dalam satu majlis di Great Hall of the People di sini dan disaksikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan Perdana Menteri China Wen Jiabao.

Malaysia turut menandatangani MoU berhubung Pelan Tindakan Bersama mengenai Kerjasama Strategik dengan kerajaan China.

Menteri Luar Datuk Anifah Aman menandatangani MoU bagi pihak kerajaan bersama-sama dengan rakan sejawatannya dari China, Yang Jiechi, dalam satu daripada dua MoU itu.

Anifah turut memeterai MoU berhubung kerjasama dalam sains dan teknologi marin dengan seorang pegawai pentadbiran China.

Turut hadir pada majlis itu ialah isteri Najib, Datin Seri Rosmah Mansor, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Mustapa Mohamed, Menteri Pengangkutan Datuk Seri Ong Tee Keat, Menteri Pengajian Tinggi Datuk Seri Khaled Nordin, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Tan Sri Bernard Dompok, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Senator Tan Sri Dr Koh Tsu Koon, dan Timbalan Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Joseph Pairin Kitingan.

Pelan Tindakan Bersama mengenai Kerjasama Strategik secara tuntas meliputi 12 bidang dalam politik; ekonomi; perdagangan dan kewangan; kebudayaan dan pendidikan; sains dan teknologi; kesihatan; pertahanan dan keselamatan; pertanian; sanitari dan phytosanitari; pelancongan; sumber manusia; tenaga; perhutanan; dan kerjasama serantau serta antarabangsa.

Perjanjian mengenai kerjasama dalam sains dan teknologi marin meliputi bidang berkaitan pertukaran dasar dan kerjasama marin; pengurusan bersepadu zon pantai; perlindungan eko-alam sekitar; penyelidikan saintifik marin; pengurusan bencana laut; satelit dan penderiaan jarak jauh; pembangunan bersama peralatan marin; pertukaran data dan maklumat marin; penerokaan dan penyelidikan tenaga laut; penerokaan sumber dasar laut; sains polar; pemantauan marin dan sebagainya.

MoU keempat ditandatangani antara Pos Malaysia dan China Post dan ia mempunyai kaitan dengan khidmat mel ekspres dan bungkusan; mel pukal; e-perdagangan rentas sempadan; kewangan antarabangsa dan logistik.

Pos Malaysia diwakili pengerusinya Tan Sri Aseh Che Mat, manakala Li Wa Ding, pengurus besar China Post, menandatanganinya bagi pihak China.

Tiada ulasan: