Khamis, 18 Jun 2009

Mahkamah tetap 17 Julai kes Sivakumar saman Speaker

BERITA HARIAN ONLINE


IPOH: Mahkamah Tinggi Ipoh, semalam menetapkan 17 Julai ini bagi mendengar kes saman bekas Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar terhadap Speaker Perak, Datuk R Ganesan.

Hakim Datuk Azhar Mohamed menetapkan tarikh berkenaan selepas mendengar permohonan barisan peguam Ganesan yang diketuai Datuk Hafarizam Harun yang meminta penangguhan kes itu ketika disebut dalam kamar.

Selain itu, Azhar turut menetapkan tarikh sama untuk mendengar permohonan Ganesan bagi membatalkan saman terhadapnya oleh Sivakumar.

Sementara itu, Chan Kok Keong yang mewakili barisan peguam Sivakumar berkata, mahkamah juga menetapkan 17 Julai ini bagi mendengar permohonan defendan untuk meminta plaintif membayar wang jaminan kos RM100,000 yang dikemukakan barisan peguam bela Ganesan.

“Pihaknya sudah menjangkakan penangguhan dikemukakan barisan peguam Ganesan pada hari ini (semalam) kerana kebiasaannya, permohonan wang jaminan dikenakan terhadap individu yang berada di luar negara,” katanya ketika ditemui di luar pekarangan mahkamah, semalam.

Selain Chan, barisan peguam Sivakumar terdiri daripada Nga Hock Cheh, Leong Cheok Keng dan Mohd Asri Othman. Manakala, Ganesan diwakili peguam Hafarizam, Syed Faisal Syed Abdullah, Abu Bakar As Sidek, Badrul Hishah Abd Wahap dan Faizul Hilmy.

Semua barisan peguam kedua-dua pihak memasuki kamar hakim bagi memperdengarkan permohonan itu kira-kira jam 9.30 pagi dan keluar semula 20 minit kemudian.

Pada 16 Mei lalu, akhbar melaporkan Sivakumar memfailkan saman terhadap Ganesan memohon perintah mahkamah menahan Ganesan, pekerja atau ejennya daripada menghalang beliau menyandang atau menjalankan tugas sebagai Speaker DUN Perak secara sah.

Sivakumar sebagai plaintif turut menuntut perintah mahkamah menghalang sebarang usaha daripada defendan, pekerja dan ejennya untuk terus mendatangkan penderitaan, serangan atau kekerasan terhadapnya.

Plaintif juga menuntut ganti rugi serangan, penahanan salah serta ganti rugi teruk yang didakwa dialaminya ketika persidangan DUN pada 7 Mei lalu, selain kos atau bayaran lain yang dianggap sebagai adil dan saksama oleh mahkamah.

Tiada ulasan: