Jumaat, 19 Jun 2009

Lim: Sudahkah Najib dapat persetujuan komponen BN?

MALAYSIA KINI


Pemimpin veteran DAP, Lim Kit Siang bertanya sama ada Datuk Seri Najib Tun Razak dan Tan Sri Muhyiddin Yassin sudah mendapat persetujuan parti-parti komponen BN, terutama presiden MCA, Gerakan dan MIC untuk mengadakan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan antara Umno dan PAS.

Atau pun, kata ahli parlimen Ipoh Timur itu, memang tidak ada keperluan untuk berunding dengan MCA, Gerakan, MIC dan parti komponen BN kerana mereka boleh diabaikan dalam sebarang tindakan oleh BN.

Namun begitu, kata Lim, rakyat Malaysia yang bijak, akan bertanya bagaimanakah sokongan Umno terhadap perbincangan mengenai kerajaan perpaduan Umno-PAS, selaras dengan dakwaan Najib menjadi filosofi konsep '1Malaysia' yang diilhamkannya.

"Sudah tentu, Najib tidak boleh mengharapkan rakyat Malaysia menerima secara serius cakapnya mengenai '1Malaysia' apabila hasil pertamanya Najib sebagai perdana menteri ialah perbincangan kerajaan perpaduan Umno-PAS," kata Lim dalam satu kenyataan hari ini.

Lim menegaskan demikian sebagai mengulas kenyataan Muhyiddin hari ini yang mahukan perbincangan mengenai kerajaan perpaduan disegerakan dan meminta pemimpin parti itu melupakan persengketaan lama bagi kepentingan perpaduan umat Islam di negara ini.

Muhyiddin juga dilaporkan berkata Umno akan bersikap terbuka dan sedia menerima apa saja syarat yang ditetapkan oleh PAS.

'Muhyiddin ubah pendirian'

Kelmarin, Setiausaha Agung PAS berkata, sebarang perbincangan mengenai kerajaan perpaduan tersebut hendaklah melibatkan sama parti komponen Pakatan Rakyat - PKR dan DAP.

Bagaimanapun, kata Muhyiddin, pada peringkat permulaan biarlah perbincangan itu diwujudkan antara PAS dan Umno sahaja sebelum perkara tersebut dibincangkan secara menyeluruh dengan parti komponen BN dan Pakatan.

Mengulas lanjut, Lim mendakwa kenyataan Muhyiddin telah mengubah pendiriannya yang sebelum ini didakwanya amat kritikal dan ragu terhadap cadangan kerajaan perpaduan PAS-Umno.

Pada 9 Jun lalu, katanya Muhyiddin meminta PAS menjelaskan apakah yang dimaksudkannya dengan sebuah kerajaan perpaduan dan pada 13 Jun pula, timbalan presiden Umno itu mempersoalkan pula kesungguhan PAS terhadap cadangan tersebut.

Lim mendakwa, Muhyiddin telah dilaporkan sebagai berkata, sehingga saat itu, tiada apa-apa yang konkrit dan meramalkan ia tidak akan menjadi satu kenyataan kerana wujud perbezaan pandangan mengenainya dalam PAS sendiri.

Dan kini, kata Lim lagi, Muhyiddin sudah berubah menjadi juara pula bagi perbincangan kerajaan perpaduan antara PAS danUmno, dan telah melupakan keraguannya terhadap usaha itu sebelum ini.

Malah hari ini, tembahnya, Muhyiddin dilaporkan berkata, pihaknya berharap pertemuan tersebut dapat berlangsung dalam "beberapa hari akan datang, bila-bila masa, tiada masalah".

Tiada ulasan: