Sabtu, 20 Jun 2009

LHDN perlu bebas daripada pengawasan politik

Nyza Ayob


KUALA LUMPUR - Ketua Pembangkang, Dato' Seri Anwar Ibrahim berkata, Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang ditubuhkan sejak sekian lama seharusnya diberikan mandat sepenuhnya dan tidak terikat dengan pengawasan politik dalam melaksanakan tanggung jawab mereka.

Sewaktu berucap dalam perbahasan Akta Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 2008 di Dewan Rakyat pada 16 Jun lalu, beliau menegaskan kesukaran Lembaga Hasil Dalam Negeri mengutip cukai dari tokoh-tokoh dan syarikat korporat seharusnya dapat diatasi.

"Didapati pihak LHDN agak lebih sederhana sikapnya dalam menghadapi tokoh-tokoh besar yang cukup berpengaruh, yang untung tercatat berbilion ringgit.

"Tetapi kadang-kadang ada tindakan yang ditafsirkan sebagai kurang sihat apabila mereka mengambil kesempatan menekan kalangan bawahan termasuk rakan-rakan dari parti politik yang berbeza. Saya harap perkara ini tidak berlaku," katanya.

Anwar turut menekankan, dalam menghadapi kegawatan ekonomi, kerajaan tidak seharusnya menekan sehingga dianggap membebankan rakyat di peringkat rendah dan peniaga-peniaga kecil tanpa sedikit kelonggaran semata-mata untuk menambahkan dana untuk kepentingan negara

Kerajaan juga katanya harus telus dan memberikan ruang yang cukup supaya hasil boleh dikumpulkan, tetapi tidak dengan maksud merosakkan atau mendera rakyat sehingga terjejas ekonomi mereka.

Dalam pada itu katanya, kerajaan juga harus mengambil perhatian terhadap cukai tidak formal daripada kegiatan ekonomi tidak formal ini yang menjangkau sehingga 40 peratus.

Katanya, ekonomi tidak formal yang dianggap ekonomi bawah tanah. termasuklah kegiatan perjudian yang tidak berlesen yang didapati bersekongkol dengan beberapa bahagian penguatkuasaan, termasuk polis.

Jelasnya, sewaktu beliau berada dalam kabinet suatu ketika dahulu, telah dilakukan siasatan di sebuah negeri melibatkan peringkat atasan dan tindakan telah diambil walaupun tidak berhasil sepenuh.

"Selain daripada perjudian haram, pelacuran, tempat hiburan haram, penyeludupan, kecurian hasil negara seperti balak, pasir dan sebagainya. Jumlah ini ditaksirkan, menelan serta menjangkau lebih dari puluhan bilion ringgit.

"Saya percaya dengan kepakaran dan komitmen yang ada di kalangan sebahagian pegawai-pegawai kanan Lembaga Hasil Dalam Negeri, mereka harus diberikan tugas untuk mengenal pasti masalah ini kerana jika tidak perkara ini akan menjadi satu kebocoran dalam sistem yang berlaku sekarang ini," tegasnya. - mns_

Tiada ulasan: