Isnin, 1 Jun 2009

Lepasan Kolej Komuniti pilihan majikan – Saifuddin

KOSMO!


SHAH ALAM – Lepasan diploma kolej komuniti yang menerima latihan dan kemahiran industri mempunyai peluang cerah di pasaran tenaga kerja, kata Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah.

Beliau berkata, kurikulum peringkat diploma kolej komuniti adalah unik kerana berasaskan keperluan industri di mana majikan turut mengambil pelajar lepasan kolej itu mengikuti latihan amali.

“Ramai yang sudah mendapat kerja semasa mengikuti latihan praktikal sebelum mereka menerima diploma,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan diploma kepada 301 graduan dari 11 kolej komuniti di Politeknik Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di sini semalam.

Mereka merupakan kumpulan pertama pelajar kolej komuniti yang mengikuti pengajian peringkat diploma yang mula diperkenalkan pada 2007.

Saifuddin berkata, ramai majikan lebih gemar mengambil pekerja yang sudah terlatih dan mahir bagi mengisi kekosongan jawatan.

Antara program diploma yang ditawarkan di kolej komuniti ialah automatif, fesyen dan aparel, hotel dan katering, teknologi komputer dan teknologi elektrik.

Beliau berkata, sambutan terhadap pengajian program diploma di kolej komuniti juga amat memberangsangkan apabila ia menerima 600 permohonan bagi mengisi 365 tempat yang disediakan pada pengambilan sesi pertama tahun 2007.

Tiada ulasan: