Sabtu, 13 Jun 2009

Lawatan LKY: Fahami Yang Tersurat Dan Tersirat

A Kadir Jasin


MELIHAT kepada laporan media massa, saya rasa tidak keterlaluan kalau saya ibaratkan lawatan bekas Perdana Menteri Singapura, Encik Lee Kuan Yew ke Malaysia sekarang seperti lawatan seorang Maharaja China. Sungguh istimewa sambutannya.

Tetapi ia sebenarnya lebih hebat kerana Maharaja China tidak pernah membuat lawatan ke luar negara sebab mengikut kepercayaan orang China dahulu kala, hanya bumi China bertamadun dan manusia di luar Empayar China adalah orang liar (barbarians) dan orang tidak beragama (heathens).

Kalau tidak silap saya, hanya Pu Yi , Maharaja terakhir China yang menjadi boneka Jepun yang pernah melawat ke luar negara.

Mengapa saya berkata begitu? Lihat sajalah siapa yang membuka pintu rumah dan hati mereka kepada Menteri Mentor Singapura itu – Yang di-Petuan Agong, Perdana Menteri, Sultan-Sultan, Menteri-Menteri, Menteri Besar dan Ketua Menteri.

Dalam Utusan Malaysia hari ini saya tengok tiga Naib Presiden Umno begitu “sopan” bergambar dengan beliau.

Terlintas di fikiran saya adakah seorang negarawan Malaysia seperti Tun Dr Mahathir Mohamad akan mendapat penghormatan dan keistimewaan yang serupa kalau beliau melawat Singapura?

Tentunya tidak. Di Singapura tidak ada Raja. Di Singapura tidak ada Kerajaan Negeri Pas, DAP atau PKR. Di Singapura hanya ada Kerajaan PAP. Di Singapura tidak ada berbagai parti. Di Singapura ada PAP saja. Singapura adalah sebuah negara demokrasi yang tidak ada pembangkang. Lihatlah apa yang mereka buat kepada pembangkang!

Tapi tak apalah. Bukankah kita ini bangsa yang sangat menghormati tetamu apatah lagi orang tua seperti LKY yang datang untuk mengubati nostalgia?

Pembaca blog ini yang muda mungkin tidak tahu dan yang tua pula mungkin sudah lupa bahawa LKY pernah menjadi warganegara Malaysia dan pernah menjadi Ahli Parlimen Malaysia antara tahun 1963 dan 1965.

Saya tidak tahu secara langsung apa yang tersirat dan tersurat dalam lawatan itu kerana tidak dijemput menghadiri sebarang pertemuan atau taklimat mengenainya. Tetapi saya yakin LKY pastinya tidak menjelajah Semenanjung Malaysia sekadar untuk bernostalgia dan mengubati rindu.

Pada pandangan saya, LKY dengan rombongan anak muridnya menjelajah Semenanjung atas tujuan dan sebab berikut:

1. Singapura bimbang dengan perkembangan politik di Malaysia, khasnya kelemahan Umno/Barisan Nasional dan kemungkinan kemunculan Pas sebagai parti induk politik Malaysia;

2. Singapura bimbang sokongan orang bukan Melayu, khasnya pengundi Cina, kepada Pakatan Rakyat akan memperkukuhkan kedudukan dan peranan Pas;

3. Kalau boleh, LKY mahu mempengaruhi masyarakat Cina Malaysia supaya kembali menyokong BN; LKY sedar bahawa Malaysia yang stabil adalah penting kepada kestabilan politik dan ekonomi Singapura;

4. Dengan suasana Ekonomi Harimaunya dalam keadaan yang sangat lemah, Singapura perlu berbaik-baik dan berpakat dengan semua negara jiran;

5. LKY sedar bahawa pembatalan rundingan isu-isu tertangguh antara kedua-dua negara seperti Perjanjian Bekalan Air, Tanah Keretapi Tanah Melayu di Singapura dan simpanan rakyat Malaysia dalam Tabung Simpanan Pusat (CPF) Singapura akan menjejaskan perhubungan jangka panjang; dan

6. Singapura masih menaruh harapan yang Malaysia pada suatu hari nanti bersedia memulakan semula penjualan pasir kepadanya dan membuka ruang udaranya kepada kapal terbang tenteranya.

Jadi lawatan LKY ini bukanlah lawatan nostalgia. Ia adalah lawatan mencari maklumat dan risikan. Lawatan untuk mengenali dan mengukur kepintaran para pembesar Malaysia. Lawatan untuk mengajar anak buahnya untuk mengenali barisan baru kepemimpinan Malaysia.

Inilah keistimewaan Singapura. Ia sangat mengutamakan maklumat dan risikan. Dan tidak seperti negara kita yang meminggir dan mencemuh Dr Mahathir, Singapura memaksimumkan penggunaan LKY sebagai guru dan diplomat luar biasa untuk menarik pelaburan asing dan menebarkan pengaruh Singapura sebagai kuasa ekonomi serantau.

LKY bukan sahaja melawat Malaysia. Dia juga melawat negara-negara jiran yang lain dan menjadi kepala kepada usaha Singapura menarik pelaburan dari negara-negara Asia Barat.

Jadi, harap-harapnya para pembesar kita daripada pelbagai peringkat dan parti tidak sekadar bersalaman dan bergambar dengan LKY sahaja.

Kalau pun mereka keberatan belajar daripada Dr Mahathir, sekurang-kurangnya belajarlah daripada LKY kerana kedua-duanya adalah pemikir dan pelaksana teragung panca penjajahan di rantau kita ini. Kedua-duanya berjaya kerana mereka mengutamakan maklumat dan risikan.

Tiada ulasan: