Khamis, 18 Jun 2009

Laporan HKL: Tidak Ada Bukti Saiful Diliwat

TV ANTARA


Laporan perubatan Hospital Kuala Lumpur (HKL) yang diperakukan oleh 3 pakar mengesahkan tidak ada bukti Saiful Bukhari Azlan diliwat sebagaimana yang didakwa oleh beliau, kata peguamabela Datuk Sri Anwar Ibrahim, Sivarasa Rasiah.

Justeru pihak pembelaan yakin laporan itu bersama bukti- bukti lain akan menunjukkan tuduhan liwat terhadap anwar adalah tidak benar dan rekaan semata- mata.

Bercakap kepada media di satu sidang akhbar di Parlimen hari ini, peguam Sivarasa dan seorang lagi peguam Anwar, Amir Hamzah Arshad berkata pendakwaraya perlu membuktikan wujudnya penetrasi untuk menyabit kesalahan Anwar Ibrahim.

“Bukti terpenting dalam mana-mana dakwaan rogol atau liwat adalah bukti mengesahkan berlakunya penetrasi. Namun, tidak ada penemuan klinial yang mencadangkan adanya liwat dan tidak ada kesan luka mempertahankan diri pada tubuh pesakit,” kata Amir Hamzah.

Kes ini ditetapkan di dengar di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 1 Julai nanti.

Sehubungan itu, salinan laporan perubatan dari Hospital Kuala Lumpur ini dilampirkan bersama afidavit yang difailkan mantan Timbalan Perdana Menteri itu semalam.

Anwar mengemukakan laporan berserta affidavit itu ke Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur untuk membatalkan pertuduhan liwat itu kerana ia dibuat dengan niat jahat dan merekacipta bukti.

Laporan perubatan ini bertarikh 13 Julai 2008 dan disahkan oleh tiga pakar dari hospital kerajaan.

Laporan HKL ini seraya menguatkan lagi laporan awal dari Hospital Pusat Rawatan Islam (Pusrawi) yang turut mengesahkan tidak ada penetrasi keatas tubuh Saiful Bukhari Azlan.

Saiful membuat laporan polis kononnya beliau diliwat oleh Anwar beberapa hari selepas bertemu dengan Perdana Menteri Najib Razak.

Najib ketika itu sedang mengarahkan kempen untuk menumpaskan Anwar pada pilihanraya kecil parlimen Permatang Pauh.

Najib menggunakan laporan polis itu sebagai modal politik namun rakyat menolak fitnah berkenaan. Anwar menang dengan majoriti besar di Permatang Pauh dan diangkat menjadi Ketua Pembangkang di parlimen.

Meskipun tuduhan liwat itu amat rapuh sebagaimana yang terbukti dengan dua laporan pihak perubatan, Najib merestui tindakan Peguam Negara Gani Patail membawa pertuduhan terhadap Anwar ke mahkamah.

Amir Hamzah juga berkata persiapan pembelaan untuk perbicaraan kini perlu dilengkapkan dengan bukti dan dokumen tertentu yang belum diserahkan pihak kerajaan.

Dokumen ini termasuk laporan dari pegawai penyiasat kanan termasuk rakaman kamera litar tertutup (CCTV), carta ujian Asid Deoxyribonucleic (DNA), laporan pakar kimia, serta kenyataan dari penuduh.

“Kami mendesak kerajaan untuk segera menyerahkan dokumen-dokumen ini khususnya laporan ujian DNA supaya kita boleh melakukan ujian bebas serta mendapatkan khidmat-nasihat bebas,” kata Amir.

Tiada ulasan: