Khamis, 4 Jun 2009

Kontraktor tidak sempat periksa

UTUSAN ONLINE


KUALA TERENGGANU - Kakitangan penyenggara syarikat kontraktor dari Korea yang bertanggungjawab memasang bumbung Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak di sini, dilihat memasuki stadium itu beberapa minit sebelum bumbungnya runtuh semalam.

Salah seorang pengurus Kompleks Sukan Negeri, Khairol Azmi berkata, kakitangan syarikat kontraktor itu berada di stadium berkenaan untuk memeriksa keadaan bumbungnya.

''Berdasarkan buku rekod di pondok keselamatan di pintu masuk utama Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, mereka mendaftar masuk beberapa minit sebelum runtuhan berlaku.

''Mereka tidak sempat periksa bumbung stadium. Mereka terus pulang selepas kejadian itu berlaku," katanya ketika ditemui di stadium berkenaan di sini hari ini.

Khairol berkata, kerja-kerja pembersihan runtuhan bumbung stadium tersebut belum dijalankan kerana menunggu kebenaran Jabatan Bomba dan Penyelamat dan Jabatan Kerja Raya (JKR).

''Kebenaran untuk membersihkan stadium dijangka dikeluarkan selepas dipastikan semua struktur sudah selamat," ujarnya.

Justeru, katanya, empat pejabat iaitu pengurusan, keselamatan, boling dan penyenggaraan berpindah ke stadium tertutup yang terletak bersebelahan.

''Hari ini, semua pihak yang berpejabat di sini telah memindahkan barangan mereka seperti dokumen penting ke pejabat sementara di stadium tertutup," katanya.

Tiada ulasan: