Jumaat, 12 Jun 2009

Komando maut payung terjun gagal berfungsi

UTUSAN ONLINE


KULIM - Seorang anggota komando tentera maut setelah payung terjunnya gagal berfungsi ketika menyertai latihan di Kampung Padang Meiha, Sungai Karangan dekat sini hari ini.

Kejadian tersebut berlaku kira-kira pukul 11.55 pagi ketika mangsa, Amin Che Ros, 27, dari Kampung Permatang Berangan, Tasek Gelugor, Pulau Pinang bersama 66 anggota tentera lain menyertai latihan payung terjun di sebuah kawasan lapang berdekatan lokasi terbabit.

Ketua Polis Daerah Kulim, Supritendan Ghuzlan Salleh berkata, semasa melakukan terjunan sebagai orang terakhir, payung yang digunakan mangsa tidak berfungsi, menyebabkan dia jatuh secara tiba-tiba.

"Amin yang bertugas di Kem Mersing, Johor dilaporkan jatuh dari paras 1,000 meter dari aras laut dan mengalami kecederaan parah pada beberapa bahagian anggota badan," katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Ghuzlan berkata, mangsa kemudian cuba diselamatkan oleh anggota tentera lain dengan memberikan bantuan pemulihan pernafasan (CPR) tetapi gagal.

Katanya, beberapa anggota tentera yang bertungkus-lumus menyelamatkan Amin juga mendakwa nadinya ketika ditemui masih berdenyut.

"Namun, Amin dilaporkan meninggal dunia ketika dalam perjalanan ke Hospital Kulim," katanya.

Sementara itu, isteri mangsa, Rozita Othman, 24, ketika ditemui pemberita di bilik mayat hospital berkata, sebelum kejadian, suaminya tidak menunjukkan sebarang kelainan.

Bagaimanapun, katanya, suaminya itu ada menelefon beberapa hari lalu dan berpesan agar menjaga kedua-dua anak mereka, masing-masing seorang lelaki dan perempuan yang berusia lima dan tiga tahun dengan baik.

"Tak sangka pula itu merupakan amanat terakhir daripadanya," ujarnya sedih.

Jenazah Allahyarham dituntut ahli keluarganya dan disemadikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Permatang Berangan selepas solat Maghrib malam ini.

Tiada ulasan: