Sabtu, 13 Jun 2009

Khalid harap isu air selesai akhir bulan ini

TV ANTARA


Menteri Besar, Tan Sri Abd Khalid Ibrahim yakin Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak mempunyai pemikiran yang sama dengan beliau dalam menyelesaikan isu air yang berpanjangan di negeri ini.

Menurutnya, matlamat kerajaan Pakatan Rakyat Selangor adalah untuk menjaga kebajikan rakyat, tanpa membebankan mereka.

Justeru, katanya kerajaan negeri telah mengemukakan tawaran untuk mengambil alih pengurusan industri air di negeri Selangor pada harga yang sangat berpatutan.

“Kerajaan Negeri mahu menawarkan harga yang terbaik untuk rakyat. Lebih rendah lebih baik kerana jika kerajaan negeri membeli pada kadar yang tinggi, ia sudah tentu akan membebankan rakyat.

“Kerajaan negeri mempunyai sikap yang sama dengan Perdana Menteri untuk berkhidmat untuk rakyat dan Najib pasti setuju jika tawaran itu tidak menyusahkan rakyat,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Najib pagi tadi di Subang yang mengatakan tawaran kerajaan Selangor untuk mengambil alih industri air daripada syarikat-syarikat konsesi tidak munasabah.

Tan Sri Khalid menegaskan, pembelian operasi air itu tidak akan merugikan syarikat-syarikat konsesi yang terlibat iaitu Puncak Niaga, Abbas, Syabas dan Splash.

“Harga yang dibeli tidak akan merugikan syarikat konsesi, tetapi mereka tidak untung banyak. Jadi ia adalah adil untuk kedua-dua pihak,” jelasnya.

Tan Sri Khalid berkata demikian kepada media selepas merasmikan Festival Sains, Teknologi dan Inovasi Selangor 2009 di Kompleks PKNS, Shah Alam petang tadi.

Beliau berkata, jika kerajaan persekutuan bersetuju dengan tawaran yang dikemukakan oleh kerajaan negeri, rundingan itu boleh berakhir semalam, tetapi ia akan diteruskan sehingga akhir bulan ini bagi membolehkan kedua-dua pihak mencapai kata sepakat.

Menurutnya, dalam rundingan itu kerajaan negeri diwakili Setiausaha Kerajaan Negeri, pegawai Unit Perancangan Ekonomi Negeri, pegawai dari Pejabat Menteri Besar dan beberapa pakar pelaburan.

Manakala kerajaan persekutuan diwakili oleh Kementerian Tenaga, Teknologi Hijau dan Air, Pengurusan Aset Air Berhad dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

Mac lalu, kerajaan pakaran rakyat Selangor menawarkan pembelian asset sebanyak 4.7 bilion ringgit dan 1.1 bilion ekuiti syarikat-syarikat konsesi yang dianggap sangat berpatutan.

Tawaran itu bagaimanapun dilihat oleh sesetengah pihak tidak memadai kerana belum cukup menguntungkan poket mereka yang tamak.

Kerajaan Selangor sepatutnya menamatkan rundingan pada 20 Februari lalu, tetapi kerajaan persekutuan melalui SPAN mencelah dan mengambil alih rundingan dengan syarikat konsesi.

Tindakan itu dilihat seolah-olah dilakukan dalam keadaan terdesak apabila ‘bail-out’ yang dilaksanakan oleh Kerajaan Pesekutuan untuk syarikat konsesi air, menunjukkan kegagalan dasar penswastaan kerajaan Barisan Nasional.

Tiada ulasan: