Khamis, 4 Jun 2009

Ketua UMNO Bahagian Pandan digantung jawatan

SINAR HARIAN ONLINE


SHAH ALAM - Ketua UMNO Bahagian Pandan, Abd Ghani Ismail yang didakwa 10 tuduhan menyalahguna kuasanya sebagai Ahli Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ) dengan menerima rasuah berjumlah lebih RM200,000 digantung jawatan sehingga mahkamah mendapati beliau tidak bersalah.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Selangor, Datuk Noh Omar, berkata Ibu Pejabat UMNO sudah mengeluarkan surat penggantungan berkenaan selepas Abd Ghani, 42, didakwa di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur pada 26 Mei lalu.

Beliau berkata, selaras dengan arahan berkenaan, jawatan Ketua UMNO Bahagian berkenaan dipangku sementara oleh Timbalan Ketua Bahagian, Mejar (B) Izeham A Hamid.

”Beliau (Abdul Ghani) digantung sementara sehingga mahkamah mendapati dia tidak bersalah atas dakwaan rasuah.

”Surat telah dikeluarkan Ibu Pejabat kepada beliau dan jawatan Ketua Bahagian dipangku timbalannya,” katanya sebelum mempengerusikan Mesyuarat Badan Perhubungan UMNO Selangor di sini, kelmarin.

Abd Ghani didakwa menyalahguna kuasa untuk meluluskan tender antara tahun 2006 dan 2007, bagaimanapun beliau mengaku tidak bersalah terhadap semua tuduhan itu.

Noh berkata, arahan berkenaan selari dengan keputusan Mesyuarat Ahli Majlis Tertinggi (MT) baru-baru ini bersetuju menggantung ahli dan pemimpin parti pelbagai peringkat secara automatik jika didakwa di mahkamah berkuat kuasa serta merta.

Arahan menggantung sementara itu bertujuan menjaga imej parti dan individu terlibat, manakala jawatan tersebut hanya diberikan semula jika mahkamah mendapati individu terbabit tidak bersalah.

Beliau berkata, keputusan sama ada mahu memecat Abdul Ghani atau tindakan lain jika dia didapati bersalah atas tudu-han salah guna kuasa berkenaan diserahkan kepada pucuk pimpinan parti.

”Sama seperti kakitangan kerajaan atau organisasi lain, sesiapa didapati bersalah atau melanggar peraturan akan dikenakan tindakan disiplin.

”Bagaimanapun keputusan ini akan dibuat selepas kes ini dibicara dan mahkamah mendapati beliau bersalah,” katanya.

Dalam perkembangan lain, lapan Ketua Cawangan UMNO Bahagian Petaling Jaya Selatan (PJS) yang dilaporkan menyokong bekas ketua bahagian berkenaan, Kapten (B) Datuk Zahar Hashim mengisytiharkan kembali pada UMNO.

Noh berkata, lapan ketua cawangan berkenaan masih ahli UMNO kerana MT tidak pernah mengeluarkan surat arahan memecat walaupun mereka menyatakan sokongan terbuka kepada Zahar.

”Mereka tidak pernah mengisytiharkan keluar UMNO jadi tidak timbul mereka ini menyertai semula UMNO," katanya.

Tiada ulasan: