Jumaat, 19 Jun 2009

Kes pertama dikesan di Perak

UTUSAN ONLINE


IPOH - Seorang wanita berusia 22 tahun di sini dikesan positif influenza A (H1N1), menjadikan ia kes pertama dicatatkan di negeri ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan, Kerajaan Tempatan, Hal Ehwal Pengguna, Alam Sekitar, Pengangkutan Awam dan Hal Ehwal Bukan Islam Perak, Datuk Dr. Mah Hang Soon berkata, wanita tersebut baru pulang daripada melawat abangnya di Australia pada 14 Jun lalu.

''Wanita itu dimasukkan ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh pada 15 Jun lalu selepas mengalami demam dan pemeriksaan mendapati dia membawa virus H1N1," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Terdahulu, beliau merasmikan Kursus Pertolongan Cemas di Klinik Kesihatan Gunung Rapat dekat sini.

Hang Soon berkata, wanita tersebut masih menerima rawatan lanjut di HRPB dan kini dalam keadaan stabil.

Mengulas lanjut katanya, ahli keluarga yang berhubung dengan wanita terbabit juga dikuarantin selama tujuh hari di rumah mereka di sini.

Menurutnya, walaupun mencatatkan kes pertama, virus itu di Perak terkawal dan orang ramai tidak perlu bimbang kerana Jabatan Kesihatan Negeri akan melakukan aktiviti pemantauan secara berterusan.

''Orang ramai dinasihatkan supaya mendapatkan rawatan di hospital dengan segera jika mereka mempunyai simptom seperti demam dan batuk bagi membolehkan pemeriksaan lanjut dilakukan," katanya.

Tiada ulasan: