Selasa, 9 Jun 2009

'Kerajaan perpaduan bukan campuran'

BERNAMA


KUALA LUMPUR - Idea pembentukan kerajaan perpaduan oleh Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang bukan satu agenda untuk mewujudkan kerajaan campuran tetapi sebaliknya agenda di luar parti bagi membincangkan soal agama, orang Melayu dan ummah secara keseluruhan, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.

Katanya, idealisme yang dibawakan oleh Pas itu adalah demi kesejahteraan ummah serta agama dan tidak mahu Barisan Nasional (BN) sebagai parti pemerintah diperlekehkan kerana melakukan tindakan yang akan merugikan orang Islam.

"Sudah tiba masanya Pas menterjemahkan idealisme ini yang ada pada mereka demi kebaikan agama dan ummah," katanya kepada pemberita selepas melawat Bangunan Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) di sini hari ini.

Zahid berkata Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan DAP mempunyai agenda lain yang tidak mahu melihat negara ini menikmati kestabilan politik dengan mengambil kesempatan ke atas keadaan ekonomi sekarang.

"Dalam keadaan ekonomi sekarang yang berada di bawah -6.2 peratus merupakan peluang dan ruang yang mahu diambil DAP dan PKR bagi menanam budaya kebencian yang mendalam teramat sangat kepada kerajaan Malaysia serta menolak UMNO dan BN keseluruhannya.

"Dalam hal ini Pas agak rasional untuk menerima hakikat, malah dalam perkara 30 peratus pemilikan ekuiti bumiputera pun Pas nampak senada dengan BN," katanya. Beliau berkata kerjasama Pas dan UMNO harus dilakukan dan pendekatan yang akan dilakukan merupakan pendekatan positif.

Katanya, apabila seteru tradisi yang selama ini mahu menghulurkan tangan untuk kerjasama maka ukhwah harus diterima dengan baik tanpa mengenakan sebarang syarat.

"Saya rasa Pas tidak akan mengenakan sebarang syarat jika sekadar mahu bekerjasama," katanya.

Abdul Hadi mengutarakan idea tersebut pada Muktamar Pas ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam, semalam.

Sementara itu, Zahid yang juga Menteri Pertahanan berkata LTAT layak memberi dividen sebanyak 16 peratus kepada pencarum berdasarkan keuntungan sebelum cukai lembaga itu yang meningkat sebanyak RM631.4 juta.

"Caruman meningkat kepada RM5.8 juta, peningkatan sebanyak lima peratus tahun lalu, manakala aset pelaburan kumpulan LTAT pula meningkat sebanyak RM47 bilion," katanya..

Tiada ulasan: