Selasa, 23 Jun 2009

Kerajaan Negeri Bina Kompleks Tahfiz

TV SELANGOR


Kerajaan Negeri Selangor akan membina sebuah kompleks tahfiz bernilai 17 juta ringgit yang boleh menampung 800 pelajar, menjelang tahun depan.

Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Datuk Ahmad Khusrin Munawir berkata, kompleks yang akan dibina di Alam Impian ini akan dilengkapkan dengan asrama hafiz dan hafizah serta pelbagai prasarana yang sesuai.

Menurutnya, kebanyakan sekolah tahfiz sedia ada bukan sahaja tidak lengkap dari segi kemudahan, malah terlalu kecil untuk menampung jumlah permohonan yang semakin bertambah.

“Saya ingat di Selangor ini kita trpaksa menapis dari segi nak masuk,kita terpaksa buat temuduga,dari segi kita pilih mereka mereka yang cemerlang ini dari segi PSRA dan UPSR. Jumlah permohonan memang terlalu banyak.Jadi kita Cuma ambil dalam 240orang saja setahun,pengambilan ya.Jumlah permohonan lebih daripada itu”,kata Datuk Khusrin.

Ketika ini, kerajaan negeri sudah mewujudkan dua Mahad Tahfiz iaitu di Kampung Jawa, Klang yang menempatkan 120 pelajar dan Mahad Tahfiz Jugra dengan 180 pelajar.

Menurut Datuk Khusrin, semua pelajar di Mahad Tahfiz Kampung Jawa akan dipindahkan ke kompleks baru di Alam Impian, tetapi pelajar Mahad Tahfiz di Jugra akan dikekalkan.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada Program Ijtimak Huffaz dan Penyampaian Elaun Hafiz di Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, hari ini.

Katanya, kerajaan negeri sentiasa peka dan berusaha meningkatkan system pengajian dan infrastruktur sekolah-sekolah tahfiz yang banyak diwujudkan di negeri ini.

Tiada ulasan: