Rabu, 17 Jun 2009

Kelemahan pengurusan PLKN diperbaiki

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kerajaan akan terus mengenal pasti kelemahan pengurusan dalam Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) bagi memastikan mutu latihan yang dijalankan dapat dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad berkata, kelemahan tersebut perlu diperbaiki segera supaya ia tidak mengganggu kelancaran program akan datang.

''Kita sememangnya sudah kenal pasti masalah dan kelemahan yang dihadapi menerusi beberapa siri latihan sebelum ini.

''Apa yang boleh saya katakan ialah kerajaan akan cuba perbaiki kelemahan dan melakukan penambahbaikan supaya pelatih-pelatih dapat menjalani latihan dengan sempurna,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar pelancaran Pergerakan Pelatih PLKN Kumpulan 3 Siri 6/2009 di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Pengarah Jabatan Latihan Khidmat Negara (JLKN) Datuk Abdul Hadi Awang Kechil.

Seramai 62,022 pelatih PLKN melaporkan diri pada kali ini dengan membabitkan penempatan sebanyak 83 buah kem di seluruh negara.

Abdul Latiff bagaimanapun berkata, pihaknya perlu meneliti setiap rancangan penambahbaikan pengurusan agar ia dapat dilaksanakan tanpa sebarang masalah sampingan.

Tambahnya, ia bagi mengelakkan para pelatih program akan datang daripada menjadi mangsa pengurusan yang tidak dirancang dengan baik.

''Kita perlu ada perancangan teliti untuk lakukan perubahan.

''Apa yang saya boleh katakan, kami perlu mengambil kira pandangan daripada ahli Parlimen untuk sebarang perubahan atau penambahbaikan program ini,'' jelasnya.

Dalam pada itu, Abdul Latiff turut menasihatkan kesemua pelatih PLKN menggunakan peluang yang terdapat dalam program itu sebaik mungkin.

Beliau berkata, peluang itu harus digunakan dengan semangat ingin memperbaiki diri dan mampu berbakti kepada negara.

''Peluang yang datang jangan dipersia-siakan kerana pada masa akan datang, peluang itu adalah untuk orang lain pula.

''Anggap program selama 85 hari ini sebagai landasan untuk memajukan diri dan menjadi insan yang disegani,'' ujarnya.

Ditanya mengenai kes kematian yang sering berlaku di kem-kem latihan PLKN, beliau berkata: ''Saya bukan malaikat untuk menentukan ajal maut pelatih. Kemalangan boleh berlaku di mana-mana.

''Perlu ditegaskan bahawa kes-kes kematian yang berlaku di kem-kem latihan sebelum ini bukan berpunca daripada petugas-petugas PLKN.''

Tiada ulasan: