Khamis, 18 Jun 2009

Kehadiran ramai polis di Manek Urai menakutkan penduduk - MAFREL

Lanjusoh


KOTA BHARU - Badan pemantauan pilihan raya di negara ini, MAFREL mendapati kehadiran ramai anggota polis di Manek Urai telah menimbulkan rasa takut di kalangan penduduk tempatan.

Jurucakap MAFREL Bahagian Kelantan berkata, hasil tinjauan pada 16 Jun lalu didapati ramai anggota polis yang berpakaian biasa di kawasan pilihan raya.

"Mereka bertugas dengan menaiki motosikal, melepak di kedai-kedai kopi dan di mana-mana tempat ramai orang berkumpul.

"Berdasar kepada temubual petugas MAFREL dengan penduduk tempatan, jelas perkara ini menakutkan penduduk dan pengundi di Dun Manek Urai," katanya di sini.

Selain itu kata beliau MAFREL juga mengesan projek-projek segera di bawah kerajaan pusat di Manek Urai dalam tempoh bermula 4 April 2009 hingga 22 Jun 2010.

Beliau berkata, berdasar tarikh tersebut amat padat projek mee segera mahu dilaksanakan sewaktu tempoh beberapa hari bermula kempen pilihan raya.

Katanya, beberapa agensi kerajaan telah dikenal pasti terlibat secara langsung dalam projek 'mee segera' iaitu Jabatan Kerja Raya, Kesedar, Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Pelajaran Malaysia dan Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan.

"Sasaran program projek 'mee segera' banyak tertumpu kepada pelajar sekolah rendah dan menengah melibatkan ibu bapa, penerimaan skim bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi penduduk yang berpendapatan rendah dan ibu tunggal.

"Maka daripada bukti bergambar di atas, dapat disimpulkan telah berlaku projek mee segera di kawasan pilihan raya Dun Manek Urai," katanya.

Beliau juga berkata, MAFREL menjangka lebih banyak lagi projek-projek mee segera yang akan dilaksanakan semasa tempoh kempen bermula selepas 6 Julai ini.

Kata jurucakap itu, MAFREL memandang projek-projek mee segera itu sebagai satu amalan yang amat hina kerana mengganggap mentaliti masyarakat Malaysia boleh digula-gulakan dengan umpan pembangunan.

"Sampai bila pemimpin-pemimpin politik ingin meneruskan budaya memperbodohkan rakyat dan meneruskan budaya rasuah politik seperti ini.

"MAFREL akan terus dengan agenda menjadikan pilihan raya adil dan bebas dan tidak akan membisu melihat kesalahan demi kesalahan dilakukan walaupun sesetengah pihak sudah mengganggapnya sebagai perkara-perkara biasa," ujarnya.

Bagaimanapun kata beliau berdasar kepada pemantuan dibuat belum ada projek mee segera melibatkan agensi kerajaan negeri setakat ini. - mj _

Tiada ulasan: