Khamis, 18 Jun 2009

Kedudukan Nasharuddin dalam Pas dibincang Isnin

Oleh Azmi Md Deros dan Khairiatul Nabila Koderat


KUALA LUMPUR: Desakan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat supaya Nasharuddin Mat Isa melepaskan jawatannya sebagai Timbalan Presiden parti kerana menyokong cadangan pembentukan kerajaan perpaduan, akan dibincang pada mesyuarat parti itu Isnin ini.

Turut akan dibincang pada mesyuarat itu yang akan dipengerusikan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang, yang dijangka pulang ke tanah air dari London pada Sabtu ini ialah desakan Nik Aziz supaya Nasharuddin turut melepaskan jawatannya sebagai Ahli Parlimen Bachok.

Naib Presiden Pas, Datuk Mahfuz Omar, berkata beliau terkejut dengan kenyataan keras yang dibuat Nik Aziz terhadap Nasharuddin, tetapi tidak menganggapnya sebagai satu permulaan kepada perpecahan parti.

Seorang lagi Naib Presiden Pas, Salahudin Ayub pula berkata, mengikut tradisi parti, perkara sedemikian biasanya diputuskan pada mesyuarat parti.

Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Taib Azamuddin Md Taib pula berkata, beliau yakin pemimpin peringkat tertinggi parti itu mampu menyelesaikan perkara berkenaan.

Nik Abdul Aziz semalam secara terbuka meminta Nasharuddin meletakkan jawatan dalam parti serta sebagai Ahli Parlimen Bachok, jika beliau masih berhasrat meneruskan agenda mengadakan perbincangan bagi pembentukan kerajaan perpaduan dengan Barisan Nasional (BN).

Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim, berkata beliau yakin masalah itu mampu diselesaikan dengan bijaksana oleh kepemimpinan Pas.

Pemimpin kanan DAP, Lim Kit Siang pula berkata beliau akan mendengar sendiri penjelasan berhubung perkara itu daripada Presiden Pas pada mesyuarat Isnin ini.

Pesuruhjaya Pas Kedah, Datuk Seri Azizan Abdul Razak pula mahu Nik Abdul Aziz mendapatkan maklumat lebih jelas daripada Abdul Hadi berhubung idea penubuhan kerajaan perpaduan sebelum membuat kenyataan melulu.

Azizan berkata, adalah tidak wajar Nik Abdul Aziz membuat kenyataan melulu dan meminta Pas, Nasharuddin Mat Isa meletak jawatan jika masih menyokong idea mewujudkan kerajaan perpaduan.

“Perkara ini (penubuhan kerajaan perpaduan) bukan boleh diputuskan satu atau dua orang pemimpin saja, sebaliknya ia adalah keputusan ahli parti.

“Berilah Presiden menjelaskan dulu bagaimana idea sebenarnya konsep kerajaan perpaduan yang dicadangkan itu dan jangan terlalu awal membuat kesimpulan atau mengeluarkan kenyataan melulu.

“Komen beliau, termasuk meminta Nasharuddin meletak jawatan jika menyokong idea itu boleh mengelirukan penyokong parti,” katanya kepada pemberita di Alor Setar.

Azizan berkata, beliau tidak bermaksud untuk menyebelahi mana-mana pihak dan hanya mahu perkara itu dibincangkan terlebih dulu dalam perhimpunan parti untuk mendapatkan pandangan ahli.

Katanya, tindakan pemimpin parti itu yang mengeluarkan pelbagai kenyataan yang bercanggah dikhuatiri akan memberi kesan negatif kepada parti itu.

Tiada ulasan: