Sabtu, 20 Jun 2009

Kayveas: PPP kemuka calon ganti Murugiah Rabu depan

Oleh G. MANIMARAN


KUALA LUMPUR: Parti Progresif Penduduk (PPP) akan mengemukakan calon pengganti dalam Kabinet selepas mengadakan mesyuarat Majlis Tertinggi parti itu Rabu depan, kata Presidennya, Datuk M. Kayveas.

Kayveas berkata, calon tunggal itu yang akan menggantikan Senator Datuk T. Murugiah, yang telah dipecat oleh beliau bulan lalu, akan terdiri daripada kalangan lima Naib Presiden.

"Hanya satu nama yang akan dikemukakan... daripada kalangan (ketua-ketua negeri) yang ada di sini sekarang," katanya.

PPP mempunyai lima Naib Presiden termasuk dua yang dilantik.

Bagaimanapun satu kerusi lantikan belum diisi dan ia akan disempurnakan minggu depan.

Justeru empat Naib Presiden itu buat masa sekarang ialah Dr. K. Sivakumar, Datuk Chiw Tiang Chai, Datuk Maglin D'Cruz dan Datuk Loga Bala Mohan.

"Kali ini saya mahu terbuka dan telus dalam memilih calon yang sesuai.... saya tidak mahu calon yang dilantik menerusi pintu belakang, saya akan mengadakan perbincangan dengan mereka (Naib-naib Presiden) dan akan mendapatkan pandangan mereka.

"Mesyuarat Majlis Tertinggi akan berakhir menjelang tengah hari dan sebelum 4 petang (Rabu depan), nama akan dihantar kepada Perdana Menteri untuk pertimbangan," kata beliau sebelum mempengerusikan mesyuarat dihadiri pengerusi-pengerusi perhubungan negeri PPP petang ini.

Sebelum ini PPP diwakili oleh Murugiah dalam kerajaan sebagai Timbalan Menteri.

Beliau kini merupakan Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Ekoran krisis dalaman parti itu, Murugiah telah dipecat daripada PPP bulan lalu.

Krisis itu membawa kepada 'pemilihan' Murugiah sebagai Presiden oleh kalangan ahli yang membantah kepimpinan Kayveas.

Isu kesahihan status PPP kini diperhalusi oleh Pendaftar Pertubuhan.

Tiada ulasan: