Ahad, 7 Jun 2009

Jangan Pandang Ringan PRK Manek Urai

Editor Buletin


KUALA TERENGGANU – Ahli dan para petugas pilihanraya PAS jangan sesekali memandang ringan kepada Pilihanraya Kecil Dewan Undangan Negeri (DUN) Manek Urai, Kelantan.

Ketua Pegaraha Pilihanraya PAS, Dato’ Mustafa Ali berkata sebaliknya jentera dan para petugas pilihanraya PAS menumpukan sepenuh perhatian kepada Pilihanraya Kecil tersebut.

Beliau yang juga Pesuruhjaya PAS Terengganu berkata demikian dalam ucapan penggulungan Muktamar PAS Kali Ke 55 di Stadium Melawati, Shah Alam, hari ini.

“Walaupun PAS telah memerintah Kelantan selama hampir 20 tahun, ahli dan para petugas mestilah menumpukan perhatian, jangan memandang ringan pilihanraya kecil (DUN) Manek Urai pada 14 Julai,” katanya.

Katanya UMNO telah mengumumkan untuk bertanding di Manek Urai kerana beranggapan mereka masih mendapat sokongan penduduk Melayu di kawasan tersebut.

Berbanding Pilihanraya Kecil Penanti, katanya, UMNO telah menarik diri dalam kerana mereka mengetahui bahawa mereka akan kalah.

Menurutnya, sebagaimana dilaporkan Laman Rasmi Muktamar PAS Ke 55, PAS Kelantan telah menyatakan komitmen untuk menanggung seluruh perbelanjaan logistik petugas negeri-negeri di Manek Urai.

Justeru itu, katanya, semua jentera dari seluruh negara diseru untuk turun beramai-ramai, bersama-sama bekerja demi mengekalkan DUN Manek Urai yang dikuasai oleh PAS sebelum ini.

Beliau turut memaklumkan jentera pilihanraya PAS akan dilancarkan pada 13 Jun 2009.

Pilihanraya Kecil DUN Manek Urai diadakan berikutan kematian penyandangnya Haji Ismail Yaakub atau yang lebih dikenali sebagai Pak Su Weil dikalangan penduduk tempatan.

Pengerusi Suruhanjaya Pilihan raya (SPR), Tan Sri Abdul Aziz Yusof mengumumkan penamaan calon pilihan raya kecil Manek Urai, Kelantan akan diadakan pada 6 Julai, manakala tarikh pengundian adalah pada 14 Julai depan.

Tiada ulasan: