Rabu, 10 Jun 2009

Jangan bimbang kenaikan harga minyak dunia

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Orang ramai tidak perlu bimbang dengan jangkaan peningkatan harga minyak di pasaran dunia kerana ia merupakan trend semasa seiring dengan perkembangan ekonomi dunia.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, walaupun dijangka meningkat, ia tidak berlaku secara mendadak seperti yang pernah dicatatkan pada tahun lalu.

Bagaimanapun katanya, kementerian telah mengambil langkah berjaga-jaga dengan memantau setiap pergerakan dan naik-turun harga minyak tersebut di peringkat domestik dan antarabangsa.

''Selain itu, kita telah menubuhkan jawatankuasa khas yang terdiri daripada pihak kementerian sendiri, Kementerian Kewangan dan Unit Perancang Ekonomi (EPU) untuk memantau perkembangannya di pasaran tempatan dan global.

''Kita juga mengadakan perjumpaan setiap dua minggu sekali untuk berbincang bagi mencari pendekatan terbaik agar peningkatan tersebut tidak akan menjejaskan pengguna tempatan,'' katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas merasmikan pelancaran Ekspo Cintai Malaysia 2009 di sini hari ini.

Turut hadir Timbalan Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCCCI), Datuk David Chua.

Semalam Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, harga minyak di pasaran dunia akan kembali meningkat seiring dengan pemulihan ekonomi global yang sedang berlaku sekarang.

Bagaimanapun, katanya, kenaikan itu diramal tidak akan berlaku secara mendadak seperti yang pernah dicatatkan pada 2007 dan separuh pertama 2008.

Menurut Ismail Sabri, persiapan awal bagi menangani kemungkinan peningkatan harga minyak dunia adalah pendekatan terbaik yang boleh dilakukan pada masa sekarang.

Katanya, harga minyak berada di luar jangkaan dan ia boleh menokok pada bila-bila masa sahaja bergantung pada permintaan dan penawaran bahan api tersebut di pasaran global.

''Apa yang penting, orang ramai tidak perlu mewujudkan sebarang spekulasi tentang kenaikan harga minyak kerana ia hanya akan memberi kesan buruk terhadap pertumbuhan ekonomi domestik,'' katanya.

Tiada ulasan: