Rabu, 10 Jun 2009

Isu SIS: Khairy sokong bantahan 322 NGO, individu

MALAYSIA KINI


Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin hari ini menyertai kira-kira 322 NGO dan individu membantah gesaan PAS supaya Sisters in Islam (SIS) diharamkan.

Sabtu lalu, Muktamar PAS menerima usul bagi mendesak Majlis Fatwa Kebangsaan menyiasat SIS dan mengharamkannya jika benar siasatan mendapati NGO itu mengancam akidah umat Islam.

Usul itu juga mendesak kerajaan menjalankan program pemulihan ke atas ahli-ahli SIS jika didapati sah melencong daripada agama.

Menulis dalam blognya, Khairy yang juga ahli parlimen Rembau berkata, tidak ada justifikasi untuk mengharamkan SIS atau memulihkan ahli-ahlinya.

"Tidak kira sama ada seseorang itu menyokong agenda SIS atau tidak, dan cara diambilnya untuk mencapai matlamat persamaan gender dalam kontek Muslim, tiada justifikasi untuk mengharamkan pertubuhan itu, apatalah mahu memulihkan ahli-ahlinya," tulis Khairy.

Beliau menyifatkan tindakan keras PAS itu amat bercanggah dengan agenda untuk menegakkan demokrasi yang didakwa dipertahankan oleh parti itu.

Pendirian Khairy tidak mengejutkan memandangkan isterinya Nori Abdullah memang diketahui rapat dengan pemimpin SIS.

Sementara itu, dalam kenyataannya, 322 NGO dan individu berkenaan berkata, mereka amat kesal dengan usul PAS tersebut.

"Ia menunjukkan kepada kita bahawa dalam membuat gesaan tersebut, PAS telahpun berpandangan bahawa SIS mesti diharamkan dan aktivitinya tamatkan," kata kenyataan itu lagi.

Menurutnya, walaupun mereka menghormati kebebasan bersuara ahli-ahli PAS, tetapi ahli SIS atau mana-mana pertubuhan, juga dijamin hak mereka untuk menikmati kebebasan yang sama.

"Tiada seseorang atau mana-mana pertubuhan mempunyai monopoli ke atas hak-hak untuk menyuarakan pandangan terhadap perkara-perkara berkepentingan awam," katanya.

Oleh itu, mereka menyifatkan gesaan untuk menutup mulut SIS dan menghantar ahli-ahlinya mengikut pemulihan, adalah satu tindakan ganas terhadap kebebasan mereka untuk bersuara yang dijamin oleh perlembagaan.

Sambil menyifatkannya sebagai tidak demokratik, mereka berkata, tindakan itu juga akan menyempitkan lagi ruang debat awam yang sudahpun sempit.

"Kami ingin mengulangi walaupun ahli PAS berhak terhadap pandangan mereka, tetapi gesaan supaya mengharamkan SIS, tidak boleh diterima sama sekali," tegas mereka.

Pada prinsipnya, tambah mereka lagi, persoalan untuk mengharamkan mana-mana pertubuhan semata-mata kerana pandangan mereka, tidak harus berbangkit.

Sebaliknya, tegas mereka lagi, perbezaan pandangan hendaklah dihormati dan diselesaikan secara yang membina.

"Oleh itu, kami menggesa PAS supaya menimbangkan semula pendiriannya dan mengambil langkah-langkah perlu untuk menarik balik usul menggesa SIS diharamkan," tegas mereka.

Tiada ulasan: