Rabu, 24 Jun 2009

Isteri Badul tebus talak RM1

MYMETRO


KUALA LUMPUR: “Kalau ada jodoh saya sanggup kahwin lagi,” seloroh pelakon dan pelawak AR Badul, 60, yang ditanya sama ada dia serik selepas perkahwinan kali kelimanya turut runtuh dengan permohonan cerai secara tebus talak RM1 oleh isterinya.

Badul mengakui tersentuh dengan permohonan Muna Liza Basir, 34, isteri yang dikahwini lapan tahun lalu kerana sudah hampir tiga bulan dia cuba berbaik-baik dengan wanita itu selepas berlaku perselisihan faham.

Dia mengakui tidak sanggup menceraikan isterinya dan mendakwa masih sayang Muna Liza walaupun ikatan mereka sudah berakhir.

Mahkamah Rendah Syariah di sini, semalam, mengesahkan perceraian Badul dengan Muna Liza selepas melafazkan talak di hadapan Hakim Syarie Mohd Yunus Mohamad.

Proses ‘tebus talak’ atau ‘khuluk’ dalam Seksyen 49 Akta Undang-Undang Keluarga Islam Wilayah Persekutuan 1984 memberi peluang kepada isteri untuk menebus talak diri mereka sekiranya suami tidak setuju mentalakkan mereka dengan rela.

Oleh yang demikian, isteri boleh meletakkan perkara ini dalam perjanjian sebelum perkahwinan bahawa dia boleh menebus diri mereka untuk bercerai sekiranya suami enggan menceraikan mereka.

Isteri boleh menyatakan jumlah mengikut persetujuan dengan suami. Di Wilayah Persekutuan, tebus talak dengan membayar RM1 dibenarkan.

Badul atau nama sebenarnya Armaya Aman Ramlie berkahwin dengan Muna Liza pada 23 Jun 2001.

Mereka dikurniakan seorang anak lelaki berusia lima tahun.

Sementara itu, Muna Liza ketika ditemui berkata, dia dan Badul sudah tiada jodoh dan lega kerana semuanya selesai dengan baik.

Bagaimanapun, dia yang sebelum ini bekerja dengan Badul berharap dapat kembali bekerja di produksi bekas suaminya itu kerana tidak mempunyai pekerjaan.

Tiada ulasan: