Khamis, 4 Jun 2009

Istana: Isu Tengku Temenggong, Manohara krisis peribadi

MSTAR ONLINE


PETALING JAYA: Istana Kelantan mengeluarkan satu kenyataan rasmi berhubung dakwaan Manohara Odelia Pinot telah didera oleh suaminya Tengku Temenggong Kelantan Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra.

Menurut kenyataan itu, pihak istana memantau perkembangan kes berkenaan termasuk dakwaan yang dibuat oleh Manoharan tiga hari lepas.

"Hingga sekarang kita melihat masalah ini sebagai krisis peribadi antara seorang lelaki dengan isterinya yang mesti diselesaikan melalui peruntukan undang-undang,” kata kenyataan itu yang ditandatangani oleh Pengelola Istana Diraja Kelantan, Datuk Abdul Halim Hamad, semalam.

Katanya lagi, beliau juga telah diarahkan supaya menjelaskan mengenai semua kenyataan yang dibuat oleh sahabat karib Tengku Mohamad Fakhry, Mohd Soberi Shafii mengenai isu berkenaan adalah berdasarkan pandangan peribadinya dan bukan pendirian pihak istana.

Mohd Soberi telah dipetik oleh media tempatan dan Indonesia kerana menyangkal semua dakwaan Manohara - bekas model Indonesia berusia 17 tahun.

Beliau juga telah menggesa Manohara supaya mengemukakan laporan perubatan dalam tempoh seminggu atau membuat permohonan maaf sekiranya tidak mahu berdepan dengan sebarang tindakan perundangan.

Kes berkenaan telah mendapat liputan meluas media Indonesia dan Malaysia selepas Manohara membuat pelbagai tuduhan pada sidang akhbar di Jakarta Ahad lalu.

Beliau mendakwa telah lari dari sebuah hotel di Singapura dengan bantuan polis tempatan dan Kedutaan Amerika Syarikat.

Manohara berada di Singapura bersama suaminya untuk melawat Sultan Kelantan yang menjalani rawatan di Hospital Mount Elizabeth.

Manohara telah diiringi oleh ibunya, Daisy Fajarina dalam sidang akhbar itu.

Daisy juga sering muncul melalui rancangan televisyen Indonesia mendakwa bahawa anak perempuannya telah didera sejak berkahwin dengan Tengku Mohamad Fakhry pada Ogos lepas.

Mohd Soberi juga telah menafikan tuntutan Manohara bahawa beliau 'terlepas' dari hotel di Singapura.

Abdul Halim juga berharap semua rakyat Kelantan terus mendoakan agar Sultan Kelantan segera sembuh.

Tiada ulasan: