Selasa, 16 Jun 2009

Hanya 2% daripada rakyat Malaysia menderma darah

UTUSAN ONLINE


SUNGAI PETANI - Hanya dua peratus daripada kira-kira 27 juta rakyat Malaysia menderma darah.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai berkata, angka itu masih rendah berbanding sasaran yang diletakkan Kementerian Kesihatan iaitu sebanyak lima peratus.

Beliau berkata, keadaan tersebut juga menyulitkan pihak hospital memandangkan tabung simpanan darah tidak berada dalam keadaan stabil dan ada kalanya kritikal.

''Pada masa ini cuma dua peratus daripada rakyat Malaysia menderma darah.

''Jika seorang daripada setiap keluarga di negara ini menjadi penderma, saya yakin sasaran lima peratus rakyat Malaysia sebagai penderma darah pada masa akan datang tercapai,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis penghargaan penderma darah setia anjuran Pertubuhan Penderma Darah Sungai Petani, di sini malam tadi.

Menurut Tiong Lai, berdasarkan rekod pihaknya, kes-kes pesakit lazim yang memerlukan rawatan darah ialah pemindahan organ, pembedahan, ibu bersalin, thalasemia, hemofilia dan anemia.

Sehubungan itu, katanya, adalah menjadi tanggungjawab semua pihak agar memastikan keperluan tersebut dapat dipenuhi setiap masa.

Dalam pada itu, beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan mengambil pelbagai tindakan bagi menarik minat orang ramai menderma darah khususnya secara lebih kerap.

''Bagi menghargai jasa dan sumbangan penderma darah secara kerap, kementerian telah memberikan insentif dengan menyediakan rawatan perubatan percuma di klinik dan hospital kerajaan,'' jelasnya.

Tambah Tiong Lai, hasil keberkesanan kempen dan kerjasama pelbagai pihak, kadar pendermaan darah di negara ini didapati meningkat dari semasa ke semasa.

''Pada tahun 2008, jumlah kutipan darah di seluruh negara adalah sebanyak 527,895 unit berbanding 507,808 pada tahun sebelumnya.

''Daripada jumlah darah yang diterima tersebut, kira-kira 62 peratus merupakan daripada penderma tetap,'' jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, beliau memberitahu, Kementerian Kesihatan juga telah memperkenalkan dasar pendermaan darah tanpa mengharapkan ganjaran atau balasan.

''Ini bermakna, semua pesakit yang mendapat rawatan dan menerima pemindahan darah di hospital kerajaan tidak perlu menggantikan darah yang digunakan,'' katanya.

Tiada ulasan: