Khamis, 11 Jun 2009

Empat produk tradisional berbahaya dikesan

UTUSAN ONLINE


KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan telah membatalkan pendaftaran empat produk kesihatan tradisional palsu yang berada di pasaran kerana dikesan menggunakan bahan-bahan yang tidak dibenarkan dan membahayakan kesihatan.

Jenama produk itu ialah Bodybeaus buatan Winson Health Product Marketing, Jinglida (Functional Ingredients Technologies Sdn. Bhd.), Eng Leong Cordyceps Chuanbei Plus Cough Pill 3.5gm (Eng Leong Enterprise) dan Loong Choo Brand Reh Bih Ho Herbal Tea (Excel Herbal Industries Sdn. Bhd).

Dalam satu kenyataan di sini hari ini, Pengarah Bahagian Perkhidmatan Farmasi kementerian, Eisah Abdul Rahman memberitahu, orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan daripada membeli dan menggunakan produk-produk tradisional tersebut.

Menurutnya, produk-produk itu mengandungi bahan-bahan seperti sibutramine, aminotadalafil dan diphenhydramine yang hanya boleh dibekalkan oleh doktor atau diperoleh dari farmasi sahaja.

"Produk-produk itu telah dibatalkan pendaftarannya oleh Pihak Berkuasa Kawalan Dadah (PBKD) kerana didapati mengandungi bahan-bahan yang tidak dibenarkan dalam ubat-ubatan tradisional.

"Memandangkan kualiti dan keselamatan produk-produk ini yang terdapat di pasaran sekarang tidak boleh dijamin oleh PBKD, orang awam dinasihatkan supaya mengelakkan penggunaannya," katanya.

Menurut Eisah, pengambilan bahan sibutramine dan aminotadalafil tanpa pengawasan doktor boleh menyebabkan kesan buruk kepada kesihatan seperti tekanan darah tinggi dan tekanan darah rendah serta kesan kardiovaskular lain.

Manakala, tambahnya, bahan diphenhydramine tanpa kawalan menyebabkan penurunan tekanan darah dan kesan kardiovaskular lain serta mengantuk, letih, gangguan koordinasi, keliru dan gangguan penglihatan.

"Selain itu, terdapat produk yang mengandungi paracetamol tetapi tidak dinyatakan. Ini boleh menimbulkan bahaya kerana pengambilan dos berlebihan boleh menyebabkan kerosakan hati," jelasnya.

Beliau turut meminta sesiapa yang mempunyai stok produk tradisional tersebut menghentikan serta-merta pengedaran dan penjualannya kerana ia melanggar Peraturan-peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

Katanya, individu yang didapati bersalah boleh didenda tidak lebih RM25,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

"Bagi kesalahan berikutnya, denda tidak lebih RM50,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya boleh dikenakan," tegasnya.

Tambah Eisah, Syarikat yang melakukan kesalahan ini pula boleh dikenakan denda sehingga RM 50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM 100,000 untuk kesalahan berikutnya.

Tiada ulasan: