Selasa, 9 Jun 2009

Diana akhiri PLKN

Oleh NORLIZA MOHAMAD ZAKARIA


KUALA LUMPUR - Pelakon remaja popular, Diana Danielle (gambar) yang menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN), menamatkan sesi latihannya petang semalam.

Diana atau nama sebenarnya, Diana Danielle Beeson, 18, menjalani program tersebut di Kem Princess Haliza, Sepang selama tiga bulan sejak pertengahan Mac lalu.

Pelakon siri Air Mata Maria itu dijemput oleh ibunya, Norsiah Ramli selepas menghadiri perbarisan rasmi di kem tersebut pada pukul 2 petang semalam.

"Rasa macam baru semalam saya tarik beg, naik bas dan meninggalkan mama selama tiga bulan untuk menyertai PLKN.

"Sepanjang menjalani latihan, saya rasa seronok sebab tiada langsung pengalaman yang tidak baik," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Menurut Diana, dia diberi pelbagai pendedahan termasuk latihan membina karakter pada bulan pertama, khidmat komuniti (bulan kedua) dan kelas kenegaraan (bulan ketiga).

"Secara jujur, PLKN banyak mengajar saya menjalani kehidupan yang lebih berdisiplin selain meningkatkan motivasi serta jati diri," katanya.

Selain dilantik sebagai Timbalan Penghulu Wirawati, dia turut menerima Anugerah Khas Komandan pada program tersebut.

Dua artis yang ditempatkan di kem yang sama ialah juara One In A Million (OIAM) iaitu Suki atau nama sebenarnya, Low Sook Yee, 20, dan finalis OIAM, Muhammad Alif Mohd. Satar, 20, atau Alif turut menamatkan latihan mereka petang semalam.

Dalam perkembangan lain, Diana mengesahkan bakal menyambung pengajian di Universiti Nottingham cawangan Semenyih, bulan depan.

Katanya, dia bakal menjalani pengajian sepenuh masa dalam bidang biosains selama satu tahun setengah sebelum menyambung pengajian peringkat ijazah selama tiga tahun.

"Mengenai bidang seni, saya tidak boleh kata apa-apa sebab jadual saya masih belum dapat.

"Bagaimanapun, saya akan tetap meneruskannya dan tidak akan tinggalkan kerjaya saya begitu sahaja," katanya.

Tiada ulasan: