Selasa, 23 Jun 2009

DBKL perlu tegas

BERITA HARIAN ONLINE


PUTRAJAYA: Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan, meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur mengambil tindakan lebih tegas jika serius mahu membersihkan imej Lorong Haji Taib di Kuala Lumpur daripada terus dikenali sebagai sarang maksiat.

Katanya, langkah itu perlu kerana polis tidak ada kuasa untuk menutup dan menyita premis di Lorong Haji Taib yang sering digunakan untuk kegiatan maksiat.

"Polis hanya boleh menangkap mereka yang terbabit dengan kegiatan maksiat, namun untuk menjaga kawasan Lorong Haji Taib agar sentiasa bersih, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu bertindak lebih tegas.

"Ini kerana, PBT mempunyai kuasa menyita dan menutup premis yang menjadi pusat kegiatan tidak bermoral. Jika PBT bersikap tegas, tempat terbabit (Lorong Haji Taib) tidak akan menjadi sarang maksiat," katanya ketika ditemui pemberita selepas menganugerahkan kenaikan pangkat secara medan kepada Cif Inspektor Ang Weai Leoong di Ibu Pejabat Polis Daerah Putrajaya di sini, semalam.

Ang, 31, dari Butterworth, Pulau Pinang, dinaikkan pangkat ke Pemangku Asisten Superintendan berikutan pengorbanan dan keberaniannya menumpaskan satu sindiket mencuri kenderaan mewah di sebuah kondominium di Sungai Long, Kajang, tahun lalu.

Dalam operasi itu, Ang bersama enam anggota Bahagian Siasatan Jenayah (D9) Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, ditugaskan merisik, mengesan dan menangkap sindiket mencuri kereta mewah dikenali Geng Ah Tok dianggotai dua lelaki dan seorang wanita.

Suspek yang cuba melepaskan diri, melepas tiga das tembakan ke arah pintu bilik rumah berkenaan dan dua daripadanya mengenai betis kiri dan kanan Ang.

Polis menembak mati dua daripada suspek berkenaan dan merampas tiga pistol jenis Sturn Ruqer Auto, Smith & Wesson dan Pietro Beretta Gardone serta lapan peluru hidup.

Ditanya mengenai persiapan polis menjelang pilihan raya kecil Dewan Undangan Negeri (DUN), Manek Urai, Kuala Krai, Musa berkata:

"Kita sentiasa bersedia hadapi pilihan raya kecil. Bagaimanapun, buat masa ini saya masih menunggu taklimat lengkap daripada Ketua Polis Kelantan mengenai aspek keselamatan bagi menentukan jumlah anggota yang perlu dihantar ke Manik Urai."

Dalam perkembangan lain, Musa berkata, polis masih menyiasat bagi mengenal pasti individu yang menjadi dalang di sebalik insiden rusuhan dan kebakaran di Pusat Serenti Kampung Selamat di Seberang Perai Utara, Pulau Pinang, Jumaat lalu.

Musa berkata, sehingga kini polis berjaya menahan 11 pelatih yang melarikan diri daripada pusat serenti berkenaan dan gerakan mengesan bakinya masih lagi diteruskan.

Katanya, beliau juga sudah mengadakan perbincangan dengan Timbalan Menteri Dalam Negeri bagi memperketatkan kawalan keselamatan di semua pusat serenti di seluruh negara.

Tiada ulasan: