Khamis, 18 Jun 2009

Cuti amah tidak praktikal

Oleh ZABRY MOHAMAD


PUTRAJAYA - Persatuan Penggerak Pembangunan Komuniti Malaysia (Macom) menyifatkan cadangan untuk mewajibkan majikan memberi cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah warga asing sebagai tidak praktikal.

Ini kerana, jelas Presidennya, Norizan Sharif, kediaman bukannya sebuah organisasi formal seperti pejabat yang mempunyai sistem dan peraturan yang telah ditetapkan.

Menurutnya, disebabkan keadaan itu, sukar untuk pihak berkuasa menjalankan penguatkuasaan bagi memastikan setiap pembantu rumah diberikan cuti rehat dalam seminggu.

"Cuti sehari ini tidak praktikal kerana penguatkuasaan sukar dilakukan sebab siapa nak pastikan pembantu rumah ini diberi cuti.

"Bukan macam pejabat yang ada sistem masuk-keluar dan sistem untuk kendali serta urus cuti pembantu rumah," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Semalam, Kementerian Sumber Manusia bersetuju untuk mewajibkan majikan yang mempunyai pembantu rumah warga asing memberi cuti sehari dalam seminggu kepada pembantu rumah mereka.

Perkara itu akan termaktub dalam kontrak pekerjaan yang akan ditandatangani antara majikan, pekerja dan agensi yang membawa masuk pekerja asing itu.

Menurut Norizan, memandangkan penguatkuasaan undang-undang sukar dilaksanakan, adalah lebih baik kedua-dua pihak iaitu majikan dan pembantu rumah berpakat untuk menentukan sendiri bagaimana atau bila cuti rehat itu boleh diberikan.

Selain itu, katanya, majikan wajar diberikan pendidikan supaya dapat melaksanakan tanggungjawab memberi cuti kepada pembantu rumah masing-masing tanpa perlu dipantau pihak berkuasa.

Tiada ulasan: